Home Nasional MAQIS tahan kucing Parsi import tanpa permit

MAQIS tahan kucing Parsi import tanpa permit

Kucing baka Persian yang diimport tanpa permit sah menggunkan jet pesawat peribadi ke dalam negara ditahan MAQIS di Subang Khamis lalu.

SUBANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan seekor kucing baka Parsi yang disyaki diimport dari Kemboja tanpa permit yang sah.

Siasatan jabatan itu mendapati kucing tersebut diimport oleh individu warganegara China dan cuba dibawa masuk ke Malaysia menerusi pintu masuk udara negara.

Pengarah MAQIS Selangor, Zambri Hashim berkata, haiwan tersebut dibawa masuk dengan menggunakan pesawat peribadi individu berkenaan yang tiba di Skypark Fixed Base Operation (FBO) Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Khamis lalu.

“Semasa pemeriksaan dijalankan didapati kucing tersebut tidak mempunyai Permit Import yang sah serta dokumen yang diperlukan.

“Pihak kami melakukan pemeriksaan terhadap kucing itu dan mendapati pemilik kucing tersebut gagal mengemukakan permit import MAQIS serta dokumen yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zambri berkata, kegagalan mengemukakan dokumen permit import semasa pemeriksaan di pintu masuk merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Menurutnya, jika sabit kesalahan individu berkenaan boleh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Adalah penting untuk pengimport mematuhi syarat-syarat pengimportan haiwan peliharaan bagi memastikan haiwan tersebut bebas dari sebarang risiko penyakit.

“Pihak MAQIS sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan serta karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal dan menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette