MARANG – Polis Terengganu berjaya mengesan dadah bernilai RM565,150 di dalam sebuah rumah dan ditanam di beberapa lokasi di Kampung Jambu Bongkok, di sini, Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu Supt Tium Ming Kung berkata ia susulan penahanan seorang lelaki berumur 22 tahun bersama tunangnya pada hari yang sama, kira-kira pukul 1 pagi.
Katanya, polis pada awalnya curiga dengan tindakan lelaki terbabit yang berada di kawasan tepi jalan sambil memegang satu bungkusan plastik dan setelah diperiksa bungkusan tersebut didapati berisi dadah.
“Berdasarkan pemeriksaan lanjut yang dijalankan, pihak polis telah menemukan dadah jenis syabu seberat 2,051.90 gram; heroin (1,096.8 gram); pil yaba (899 gram) dan cecair kodien (4,500 mililiter) di dalam dan di belakang rumah suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang hari ini.
Tium berkata sebahagian dadah tersebut cuba disembunyikan dengan cara menanamnya di empat lokasi berbeza di belakang rumah namun gagal apabila berjaya dihidu pihak berkuasa.
Tambahnya, sekiranya berada di pasaran, keseluruhan dadah tersebut dijangka akan digunakan oleh 24,000 penagih dan hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan telah melakukan kegiatan itu sejak akhir tahun lepas atau awal tahun ini.
“Bekalan dadah tersebut telah diperoleh dari negeri jiran (Kelantan) bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan di negeri ini,” katanya.
Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta jenis Suzuki Swift, sebuah motosikal, barangan perhiasan dan wang tunai berjumlah RM42,000 yang keseluruhan sitaan bernilai RM67,800.
Tium berkata hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap pasangan tersebut didapati negatif dadah namun suspek lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah serta tiga rekod lampau berkaitan dadah sejak 2017 hingga 2019.
Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 26 Feb dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita akan buat siasatan lanjut dari mana punca bekalan dadah atau mana-mana sindiket mahupun individu yang terlibat dengan jaringan dadah yang dirampas pada kali ini. Tangkapan ini juga merupakan tangkapan terbesar bagi tahun ini oleh Polis Kontinjen Terengganu,” katanya.
— BERNAMA
Skim cepat kaya wang dadah walaupun mati di tali gantung tu.