Home Nasional Polis Pulau Pinang kawal Pusat Simpanan Vaksin

Polis Pulau Pinang kawal Pusat Simpanan Vaksin

Sahabudin Abd Manan. foto: PDRM Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menempatkan pegawai dan anggotanya bagi mengawal keselamatan di kawasan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) negeri itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, vaksin Covid-19 itu ditempatkan di dua PSV iaitu di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya.

“Pihak polis kawal serta iringi pengagihan vaksin Covid-19 bermula di Warehouse DHL Bayan Lepas untuk dihantar ke Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang.

“Kita mengambil langkah pelindungan keselamatan menyeluruh bagi memastikan penghantaran vaksin berjalan lancar sehingga ke tempat PSV serta lokasi suntikan vaksin diberikan nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sahabudin memberitahu, kira-kira 6,000 pegawai dan anggota polis di negeri itu bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama selaras pengumuman program vaksinasi petugas barisan hadapan.

“Pemberian vaksin kepada barisan hadapan akan diberikan secara berfasa. Fasa pertama melibatkan kumpulan A itu akan diberikan
kepada petugas kesihatan kemudian baru disusuli kumpulan B yang melibatkan pegawai dan anggota polis.

“Keutamaan suntikan vaksin itu diberikan kepada mereka yang lebih terdedah kepada risiko jangkitan. Bagaimanapun, pihak polis masih belum menerima tarikh sebenar vaksinasi dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang,” ujar Sahabudin.

Semalam, Pulau Pinang menerima sebanyak 16,000 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menerusi penerbangan Cathay Pacific di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini pada jam 5.30 petang.

Ketibaan vaksin itu disambut Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Ketua Menteri Chow Kon Yeow; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib. – MalaysiaGazette