KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berpendirian bahawa syarikat penerbangan perlu terus berusaha memenuhi keperluan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas akibat pembatalan penerbangan susulan sekatan perjalanan tempatan dan antarabangsa membabitkan pandemik COVID-19.
Berikutan itu, MAVCOM menegaskan bahawa ia akan terus melaksanakan tugas di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771) dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.
Dalam kenyataan pada Isnin, MAVCOM berkata secara prinsipnya, syarikat penerbangan perlu membayar balik jumlah bersamaan dengan kos tiket pada masa pembelian termasuklah cukai, fi dan caj yang telah diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang tertulis serta caj perkhidmatan pilihan yang telah dibeli oleh pengguna terbabit.
“Kaedah pembayaran balik mesti meletakkan pengguna terjejas dalam keadaan sama pada waktu pembelian tiket untuk kepentingan terbaik syarikat penerbangan dan juga pengguna terbabit,” katanya.
Menurut MAVCOM, pada masa sama ia turut mengambil maklum bahawa kebanyakan syarikat penerbangan telah memenuhi permintaan bayaran balik tersebut.
— BERNAMA