Home Nasional 3 warga Indonesia mengaku tidak bersalah mengilang, simpan gas cecair subsidi

3 warga Indonesia mengaku tidak bersalah mengilang, simpan gas cecair subsidi

Suspek warga asing dibawa pegawai KPDNHEP bagi menghadapi pertuduhan mengilang barang berjadual Gas Petroleum Cecair tanpa lesen di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 23 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Tiga warga Indonesia mengaku tidak bersalah memiliki serta mengilang gas cecair bersubsidi tanpa lesen dan mohon dibicarakan.

Ketiga-tiga tertuduh dibawa ke mahkamah oleh anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pagi tadi.

Mereka dihadapkan di hadapan hakim mahkamah Sesyen 1, Tengku Shahrizam Tuan Lah manakala pendakwaaan dilaksanakan oleh Jesuthasen.

Mengikut fakta kes, Muhamad Rohadi, Dedi Candra dan Supardi  secara bersama-sama didapati telah mengilang tanpa lesen barang berjadual iaitu 2,349 kilogram Gas Petroleum Cecair.

Ketiga-tiga mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 16 Februari lalu lebih kurang jam 7 malam di sebuah premis tanpa nama yang beralamat di Lot 16407/16408, Jalan Perusahaan Meranti 5, Kampung Sungai Rasau, Puchong, Sepang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 21(1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada kesalahan kali kedua dan seterusnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Pendakwa KPDNHEP, Jesuthasen Nair memohon mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh itu dan meminta tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Tengku Shahrizam kemudian menetapkan 23 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan kimia kes.

Sementara itu, seorang warga Bangladesh dan dua warga Myanmar dituduh memiliki tong gas petroleum cecair berjadual dalam kawalan mereka pada 19 Februari lalu di sebuah premis tidak bernama di Taman Perindustrian Sepang sekitar jam 10.30 malam.

Pendakwaan dilakukan pegawai Pendakwa KPDNHEP Selangor, Mohd Haniff Md Alimuddin secara berasingan ke atas warga Bangladesh, Md Sohel dan warga Myanmar, Aung Min Thu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan di hadapan Tengku Shahrizam.

Seorang lagi tertuduh warga Myanmar, Sein Lin Maung dituduh di  hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar di Sesyen Jenayah 2.

Bagaimanapun, kertas pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh tidak dibacakan kerana pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan bersama jurubahasa Bangladesh dan Myanmar selain menunggu keputusan laporan kimia daripada Jabatan Kimia.

Ketiga-tiga mereka turut didakwa di mengikut akta yang sama dengan pertuduhan yang dienakan kepada warga Indonesia itu.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh dan mereka akan ditahan sementara di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan semula kes.

Noorhisham menetapkan 23 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes, mendapatkan jurubahasa dan laporan kimia.

Kesemua enam tertuduh di bawa ke Penjara Sungai Buloh. – MalaysiaGazette