PUTRAJAYA – Seramai 55,539 guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi akan diusahakan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pertimbangan untuk memasukkan golongan pendidik dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara itu dibuat selepas pihaknya menerima senarai daripada Kementerian Pendidikan.
“Kita akan usahakan untuk masukkan guru-guru ke fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu sebelum tarikh pembukaan sekolah,” katanya pada sidang media selepas meninjau simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini. Turut serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Kementerian Pendidikan menetapkan sesi persekolahan bersemuka bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua bermula 1 Mac ini manakala murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam dibenarkan hadir ke sekolah pada 8 Mac.
Untuk sekolah menengah pula, sesi pembelajaran bersemuka akan bermula pada 4 April kecuali bagi pelajar Tingkatan Lima yang akan memulakan persekolahan mereka pada 8 Mac.
Mengenai simulasi hari ini, Khairy berkata proses pemberian vaksin oleh Kementerian Kesihatan ke atas seseorang individu akan mengambil masa 15 hingga 30 minit termasuk tempoh pemantauan terhadap penerima suntikan.
“Ini adalah amalan terbaik dalam memastikan mereka yang menerima vaksin ini selamat,” katanya. – MalaysiaGazette