Home Nasional Beberapa negara sedia biayai kos imunisasi pelarian – Saravanan

Beberapa negara sedia biayai kos imunisasi pelarian – Saravanan

Warga asing etnik Rohingya membeli baranagan keperluan selepas tidak lagi dibenarkan bekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Beberapa buah negara telah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos imunisasi kepada pemegang kad Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, isu imunisasi Covid-19 kepada pemegang kad UNHCR adalah antara isu yang telah dibincangkan dalam kunjungan hormat oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi UNHCR yang diketuai oleh Thomas Albrecht hari ini.

Ini selaras dengan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dimulakan pada 24 Februari 2021 dan merangkumi tiga fasa. Pelan Imunisasi ini dijangka meliputi 70% daripada populasi dalam negara menjelang 2022.

Imunisasi ini juga diperluas kepada golongan pemegang kad UNHCR bagi memastikan tidak wujudnya kluster Covid-19 dalam kalangan mereka.

Saravanan berkata, sehingga Disember 2020, terdapat sejumlah 178,610 orang pelarian dan pemohon suaka telah berdaftar dengan pejabat UNHCR di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 154,030 orang adalah daripada Myanmar dengan 102,250 etnik Rohingya dan 22,140 etnik Chin dan etnik-etnik lain. – MalaysiaGazette