KUALA LUMPUR – Tiada masalah bagi bekas pesakit kanser dan orang kurang upaya (OKU) menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.
Beliau berkata, selain itu, mereka yang pernah menerima suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) bagi mencegah penyakit Tibi juga tidak mempunyai masalah untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.
“Pejuang kanser ini kalau rawatan sudah selesai, dengan syarat rawatan terakhir tiga hingga enam bulan sebelum (dapat vaksin), mereka tiada masalah untuk menerima vaksin. Begitu juga golongan OKU, tiada masalah.
Bagaimanapun, beliau berkata bagi golongan yang sedang mengambil ubat untuk merendahkan paras imuniti seperti pesakit kanser, mereka tidak dinasihatkan untuk menerima vaksin buat masa ini sehingga tamat rawatan.
Sementara itu, Dr Hishamshah menjelaskan setakat ini, tiada data jelas yang mengesahkan sesiapa yang menerima suntikan BCG sebelum ini terlindung daripada dijangkiti wabak COVID-19.