SEBERANG PERAI – Seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya menduduki ujian kertas Bahasa Inggeris hari ini antara ditahan merempit bersama dua lagi pelajar di Jalan Lahar Kepar, Penaga malam tadi.
Ops Samseng Jalan bermula jam 6 petang hingga 11 malam itu membawa kepada tangkapan pelajar berusia lingkungan 14 hingga 18 tahun.
MalaysiaGazette difahamkan, pelajar sekolah menengah di kawasan Permatang Tok Labu itu dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua pelajar itu dikesan melakukan aksi wheelie.
“Selain itu mereka juga dikatakan berlumba sesama sendiri dari Kepala Batas sebelum membuat pusing ke Jalan Lahar Kepar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua tiga lelaki itu masih bersekolah termasuk seorang calon SPM,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Dalam operasi yang sama, pihak polis turut menyita 15 buah motosikal atas pelbagai kesalahan.
Tambah beliau, operasi itu dilakukan untuk memastikan Jalan Lahar Kepar tidak menjadi litar lumba oleh penunggang motosikal khususnya membabitkan golongan remaja.
“Perbuatan mereka buat saja mengundang bahaya pada diri sendiri malah turut merisikokan pengguna jalan raya yang lain.
“Saya juga ingin menyeru ibu bapa untuk mengawal tingkah laku anak-anak dan tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah,” ujar Noorzainy. – MalaysiaGazette
Sila sita motosikal setan rempit calon SPM untuk dihadiahkan kepada calon SPM cemerlang yang kurang mampu.