KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus teguh berpegang kepada prinsip-prinsip pemilihan calon yang lebih menepati kehendak pengundi berbanding kehendak pimpinan parti, umpamanya ikut jawatan parti.
Prinsip-prinsip ini mengambil kira keadaan luar biasa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Sebagai contoh, katanya, calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland yang mempertaruhkan Ramli Md Nor dan pengundi menerima beliau biarpun tidak ada jawatan dalam parti.
Di PRK Semenyih pula, calon BN bukan juga berjawatan tinggi dalam UMNO bahagian, hanya setakat peringkat cawangan dan dikenali dalam kalangan kepimpinan masjid dan surau tetapi Zakaria Hanafi berjaya membawa kemenangan kedua bagi UMNO dan BN.
Hanya di PRK Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai calon BN di PRU 14, mengambil tempat lamanya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Di PRK Tanjung Piai, UMNO mengekalkan kesetiaannya kepada wadah BN apabila calon MCA diterima sebagai calon BN sambil terbuktinya UMNO tidak tamak kuasa dan kedudukan.
PRK Kimanis pula menyaksikan kemunculan seorang pemimpin baharu, Datuk Mohamad Alamin setelah ramai pemimpin UMNO yang melompat dan meninggalkan parti.
Di PRK Pekan, UMNO juga tidak ketengahkan pemimpin tinggi parti, sebaliknya memilih Mohd Sharim Md Zain seorang anak muda yang aktif dalam pergerakan belia peringkat Felda.
Calon BN untuk PRK DUN Slim juga bukan pemimpin UMNO yang berkedudukan tinggi, Mohd Zaidi Aziz hanya memegang jawatan peringkat bahagian.
Shahrir berkata, kehendak akar umbi iaitu rakyat dan pengundi lebih tepat kerana pada PRU 15, UMNO dan BN mengetuai 5 buah negeri, melebihi Pas, PKR, DAP dan PPBM.
Kalau diisytihar Sabah, Kedah, Kelantan dan Terenganu sebagai kerajaan negeri PN walaupun hanya di Sabah sahaja, pemimpin PN yang duduk sebagai ketua kerajaan, masih UMNO mendahului dari segi jawatan ketua kerajaan.
Beliau menyifatkan semua parti politik berdepan dengan keadaan politik luar biasa, bukan UMNO dan BN sahaja.
”Jadi, jangan difikir UMNO dan BN yang perlu memikir secara mendalam langkahnya pada PRU 15 ini,” ujarnya penuh makna. – MalaysiaGazette