Home Sukan Konrad sah milik Selangor FC

Konrad sah milik Selangor FC

Manuel Konrad.

KUALA LUMPUR – Kuota pemain import Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) kini sudah lengkap apabila mereka mengumumkan pemain dari Jerman, Manuel Konrad sebagai rekrut baharu  menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Matlamat dan falsafah baharu Selangor FC telah menjadi faktor utama pemain yang berusia 32 tahun itu menyertai pasukan itu setelah beraksi di Jerman sepanjang kerjayanya.

“Apabila kontrak saya bersama KFC Uerdingen 05 berakhir, saya dihubungi oleh Pengarah Teknikal Selangor FC, Michael Feichtenbeiner serta ketua jurulatih Red Giants, Karsten Neitzel.

“Mereka telah menerangkan tentang matlamat serta falsafah kelab ini dan ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi pemain penting dalam rancangan mereka,” terang Manu dipetik dalam laman web rasmi SFC.

“Saya yakin Selangor FC dapat bermain dengan cara yang menarik dan bersemangat tinggi dengan falsafah yang dirancang. Ia pasti memerlukan sedikit masa untuk menjayakannya, tetapi jika kita bekerja keras kita mampu melakukan apa sahaja,” tambahnya.

Karier remaja Konrad bermula pada tahun 2005-2006 apabila dia menjulang kejuaraan piala German Under-19 Bundesliga South/South-west dengan menjaringkan 12 gol dalam 36 penampilan serta memenangi Kejohanan Bolasepak Jerman B-19 bersama pasukan SC Freiburg B-19 .

Berasal dari wilayah Illertissen, Jerman karier pemain tinggi lampai ini terus meningkat apabila dipanggil mewakili skuad remaja negara kelahirannya untuk pasukan B-19 dan B-20 pada tahun 2006 sehingga 2008.

Pada tahun 2006 juga, Konrad telah diserapkan ke pasukan ‘feeder’ SC Freiburg II setelah mempamerkan aksi yang cemerlang bersama SC Freiburg B-19.

Menurut transfermarket.com, dia telah melakukan sebanyak 56 penampilan dari tahun 2006 sehingga tahun 2009 bagi pasukan tersebut.

Pemain yang berketinggian 187 sentimeter juga pernah beraksi di 2. Bundesliga (Liga Divisyen 2 Jerman) bersama pasukan utama SC Freiburg dan berjaya menjulang piala German second tier untuk musim 2008-2009.

Dia kemudian dipinjamkan ke SpVgg Unterhaching yang bermain di 3. Liga (Divisyen 3 Jerman) untuk pertengahan musim dan kemudian menandatangani kontrak rasmi pada 1 Julai 2009 selama satu musim. Untuk kelab selatan Munich ni, Manuel telah bermain sebanyak 52 perlawanan.

Musim berikutnya, Konrad telah beraksi bersama FSV Frankfurt selama enam musim dari 2010 hingga 2016 dengan mencatat sebanyak 164 penampilan, sekaligus menjadikan penampilan terbanyak dalam karier beliau bagi sesebuah kelab.

Dia kemudiannya berpindah ke Dynamo Dresden selama dua musim dengan 44 penampilan dan menjaringkan 4 gol dari 2016 hingga 2018.

Sebelum melebarkan sayapnya ke Asia, Konrad telah beraksi dalam 65 perlawanan untuk kelab terakhirnya di Jerman iaitu KFC Uerdingen 05 dan merekod satu jaringan gol serta dua bantuan gol sepanjang bersama kelab tersebut. – MalaysiaGazette