Home Pendapat Covid-19: Risiko tahap 3,4,5 kepada siapa?

Covid-19: Risiko tahap 3,4,5 kepada siapa?

Petugas hospital, Dr. Fadhli Suhaimi bersama pembantu perubatannya, Shahrul Nizam Radzuan (kiri) dan Muhd Nurashraf Ahamed (kanan) berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) tekun menjalankan rawatan ke atas pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

MUTAKHIR ini, kita sering mendengar berita terdapat segelintir masyarakat telah dipengaruhi oleh beberapa pihak yang cuba menggagalkan usaha program vaksinasi yang dijalankan oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan virus COVID-19 daripada terus merebak ke komuniti. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa virus ini tidak bahaya dan hanya seperti penyakit selesema biasa.

Agenda yang dibawa oleh pihak ini amat membimbangkan pihak kerajaan kerana mereka mempengaruhi masyarakat awam daripada mengambil vaksin COVID-19 ini. Mereka tidak sedar bahawa virus COVID-19 amat berbahaya dan boleh membawa maut jika berada pada tahap yang teruk. Pertambahan bilangan kes COVID-19 dari hari ke hari, terutamanya di dalam negara adalah amat membimbangkan kita.

Pertambahan ini semakin meruncing dengan kepadatan pesakit yang berada di hospital dan pusat kuarantin yang sedia ada. Hal ini menyebabkan keterbatasan bilangan pesakit yang boleh dirawat, sehinggakan kerajaan mengumumkan bahawa pesakit yang berada pada tahap satu dan dua boleh menjalankan kuarantin kendiri di rumah.

Pesakit COVID-19 terbahagi kepada lima tahap, iaitu bermula daripada tahap 1 ke
tahap 3 yang ringan sehingga tahap yang teruk, iaitu tahap 4 dan 5. Bagi tahap 1, pesakit
biasanya tidak bergejala. Pesakit mula menunjukkan gejala pada tahap 2. Pada tahap 3,
pesakit sudah mula menunjukkan tanda jangkitan paru-paru yang dikenali sebagai
pneumonia. Pada tahap 4, jangkitan paru-paru menjadi semakin teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen.

Akhirnya, pesakit yang berada pada tahap 5 berada dalam keadaan kritikal
dengan penglibatan pelbagai organ lain yang turut terjejas. Pesakit yang berada pada tahap 3, 4 dan 5 perlu dirawat di hospital. Manakala pesakit yang berada pada tahap 4 dan 5 dikategorikan pada tahap yang teruk dan kebiasaanya berada di unit rawatan rapi (ICU).

Setiap orang mempunyai risiko untuk dijangkiti virus COVID-19. Faktor-faktor
seperti umur yang melebihi 50 tahun, penyakit buah pinggang, darah tinggi, penyakit jantung, obesiti, penyakit paru-paru, kencing manis, pesakit yang mempunyai sejarah pemindahan organ, penggunaan ubat immunosuppressi dan jangkitan HIV yang tidak terkawal menjadikan kondisi tahap 4 dan 5 akan bertambah teruk.

Tanda-tanda amaran perlu dikenal pasti bagi memastikan pengurusan pesakit yang tepat dan pesakit segera mendapat fasiliti  bantuan yang terbaik. Kondisi pesakit kebiasaannya akan bertambah teruk di tahap 4 atau 5 pada hari kelima ke hari ke sepuluh daripada jangkitan COVID-19 berlaku. Dari sudut klinikal, pesakit akan mendapat gejala yang berterusan seperti demam berpanjangan, kelesuan, kurang selera makan, berat badan berkurang, dan batuk berpanjangan.

Sistem pernafasan terganggu merupakan tanda amaran yang teruk dan perlu mendapatkan rawatan segera. Nilai CRP yang meningkat, penurunan jumlah limfosit, dan kadar Interlukin 6 yang tinggi merupakan petanda pesakit dikategorikan dalam fasa yang teruk, iaitu setelah pemeriksaan darah pesakit dilakukan di makmal. Setelah melakukan pemeriksaan radiologi, jangkitan paru-paru yang teruk dapat dilihat berdasarkan tanda-tanda yang teruk dengan kewujudan multi-lobular pada X-ray dada. Bagi pesakit yang berada pada tahap 4 dan 5, pesakit perlu mematuhi arahan dan perlu berehat sepenuhnya di atas katil.

Pada kebiasaannya, pesakit akan memakai tiub air kencing untuk menilai tahap rehidrasi serta mengendalikan cirit-birit dengan berkesan bagi mengurangkan keperluan untuk pergi ke tandas. Pesakit juga perlu menggunakan oksigen mudah alih pada setiap kali hendak pergi ke tandas. Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan perkara berikut, iaitu menghindarkan diri daripada tempat yang sesak dan tempat tertutup serta mengelakkan diri daripada bercakap pada jarak dekat. Amalan mencuci tangan dengan air dan sabun serta memakai penutup muka dan hidung juga perlu bagi memutuskan rantaian penyakit COVID-19 ini.

Masyarakat juga disarankan supaya duduk di rumah, mengelakkan diri daripada bersalaman atau bersentuhan, mengamalkan etika batuk dan bersin, melakukan
disinfeksi dan mendapatkan rawatan jika bergejala. Dalam Islam, Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya menyelidiki terlebih dahulu apabila kita mendapat sebarang berita atau perkhabaran. Pastikan maklumat yang diperoleh itu benar dan boleh dipercayai. Hal ini adalah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 bermaksud: “Wahai orang-orang yang
beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”

Ibn Jarir berkata: Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu makrifah dan yakin akan kebenarannnya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya. (Lihat Jami' al-Bayan fi Ta'wil al-Quran, 22/286).

Konsep bertabayyun atau menyelidiki terlebih dahulu amatlah penting diamalkan supaya
maklumat yang diterima adalah benar dan tepat. Jika sifat bertabayyun ini tiada dalam
masyarakat kita, maka terjadinya prasangka dalam kalangan masyarakat serta keadaan yang kucar-kacir. Sifat berprasangka terhadap saudara muslim amat dilarang dalam Islam kerana hal ini akan menyebabkan berlaku umpatan dan saling mencerca antara satu sama lain serta menimbulkan permusuhan sesama manusia.

Begitu juga dengan kes penyebaran maklumat palsu tentang COVID-19 ini juga boleh menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia kehilangan nyawa jika wabak ini tidak dibendung dengan baik. Wallahualam.

Dr Muhamad Rafiqi Hehsan
Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, USIM

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia.

Ratijah Sundari,
Tutor bahasa Melayu di Pusat Tuisyen Tatapan Minda.