Home Nasional Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 untuk pencari kerja

Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 untuk pencari kerja

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang menganjurkan Siri Webinar Kerjaya bersempena Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia sehingga 26 Februari ini bagi merangsang pasaran buruh dan membantu individu yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan sejak Covid-19.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://careerfair.perkeso.gov.my.

Bertemakan “Kebolehpasaran Pekerjaan Dalam Norma Baharu”, siri webinar ini bakal mengupas isu-isu semasa seperti realiti pasaran buruh di Malaysia dan tips untuk membantu para pencari kerja dalam menentukan hala tuju kerjaya.

Berkonsepkan perkongsian ilmu, siri webinar kerjaya ini terdiri daripada empat sesi yang dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Antara tema atau topik yang dibincangkan adalah ‘Persiapan Calon Untuk Menghadapi Cabaran Baru Di Era Covid-19’, ‘Pencarian Pekerjaan: Tips, Panduan Dan Contoh Inspirasi’, ‘Promosi Kesedaran Perkhidmatan Pembangunan Kerjaya’ dan
‘Penggunaan Maklumat Pasaran Buruh Untuk Penilaian Kendiri Pekerjaan’.

Perkeso berkata, sesi webinar ini mengetengahkan barisan panel jemputan dari dalam dan luar negara, mencakupi pakar industri, wakil majikan serta penyedia khidmat latihan. Turut menghantar wakil adalah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan WCC Group Corporate, sebuah syarikat antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan pekerjaan untuk sektor swasta dan awam.

Peserta Siri Webinar Kerjaya akan menerima e-sijil penyertaan selain berpeluang memenangi hadiahhadiah menarik cabutan bertuah seperti jam tangan pintar Apple Watch Series 6 dan banyak lagi.

Menurut Perkeso, sejak 1 Januari 2020 sehingga kini, sebanyak 132 webinar telah dianjurkan oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Perkeso.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 webinar diadakan pada tahun ini.

Selain itu, katanya, pencari kerja juga digalakkan untuk berdaftar melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs untuk mendapatkan maklumat kekosongan dan padanan pekerjaan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette