Home Nasional KPN, timbalannya suntik vaksin 2 Mac ini

KPN, timbalannya suntik vaksin 2 Mac ini

Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan utama Polis Diraja Malaysia akan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Abdul Hamid Bador dijangka menerima suntikan vaksin tersebut pada 2 Mac ini di Hospital Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, beliau juga akan menerima suntikan vaksin itu pada tarikh yang sama.

“Insya-Allah, saya akan menerima suntikan vaksin pada tarikh yang sama dengan Tan Sri Abdul Hamid iaitu pada 2 Mac ini.

”Bagaimanapun, lokasi suntikan saya di Pusat Kesihatan Titiwangsa,” katanya hari ini.

Hari ini, negara  memulakan program vaksinasi percuma secara besar-besaran bagi memastikan seluruh masyarakat dilindungi daripada wabak Covid-19.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan satu daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya.

Pada 4 Februari lalu, Muhyiddin mengumumkan, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung Februari dan mensasarkan 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu.

Kata beliau, vaksin Pfizer yang diberikan secara percuma dalam tiga fasa.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam memerangi wabak itu.

Fasa kedua pula bermula dari April-Ogos adalah bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kelainan upaya (OKU).

Fasa ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.- MalaysiaGazette