Home Seni Hidup Rahsia kenali diri sendiri bersama Dr Muhaya

Rahsia kenali diri sendiri bersama Dr Muhaya

Datuk Prof Dr Muhaya ketika di temubual oleh Malaysia Gazette di butik beliau di Kajang,Selangor. Foto FIKRI YAZID.

KUALA LUMPUR – Kenali diri sendiri yang sebenar merupakan langkah pertama yang perlu dicari individu dengan melihat emosi daripada sudut pandang lebih mendalam.

Itu adalah momentum paling utama dengan mencari titik kesedaran atas setiap perkara berlaku, kata pakar motivasi, Prof Datuk Dr Muhaya Mohamad.

Jelas beliau, sesi berdamai dengan diri sendiri menerbitkan rasa sayang, menghargai diri sendiri, memperbaiki segala kekurangan dan memperbaiki lima aspek utama kehidupan iaitu kesihatan, keilmuan, emosi, spiritual dan perhubungan.

Ujarnya yang juga pakar mata, individu perlu mengenali diri dengan melihat kebesaran Allah SWT.

“Momentum Silaturahim pula merupakan langkah kedua setelah kita sedar dan kenali diri yang sebenar, barulah kita membina perhubungan sesama insan dan alam sekeliling.

“Dengan memahami ‘keperluan’ dan ‘kehendak’ orang lain, terbina perhubungan yang jauh lebih baik.

“Sesi ini menjawab situasi mengapa kita rasa tekanan, marah, dendam, menyampah pada orang-orang tertentu. Mencetus rasa sedar, ketika berinteraksi dengan orang lain yang membina rasa bahagia dan membahagia,” kata pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ocular Immunology dari Universiti London itu.

Datuk Prof Dr Muhaya ketika di temubual oleh Malaysia Gazette di butik beliau di Kajang,Selangor. Foto FIKRI YAZID.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di butiknya iaitu Muhaya Miracle di Kajang baru-baru ini.

Momentum itu antara proses pembelajaran 6 Momentum Spektrum Jiwa menerusi PMC Plus 6 atau singkatan kepada Prof Muhaya Circle.

Plus 6 adalah berdasarkan 6 Momentum Spektrum Jiwa yang mengukur kadar kesedaran emosi seseorang untuk tempoh kira-kira 90 hari  bulan menerusi 24 sesi pembelajaran beserta latihan khusus mengikut kelas dan 12 sesi  bagi menjawab isu-isu yang berkaitan momentum.

Dr Muhaya menambah, Momentum Kuasai Diri adalah langkah ketiga bagi membantu untuk mengenalpasti apakah respon emosi apabila sesuatu perkara yang tidak diingini atau kuramg selesa berlaku kepada diri individu.

Jelas beliau, respon itu adalah sama ada marah berbalas api kemarahan, dendam berbalas kebencian dan berapa lamakah respon emosi yang akan terbit secara luar sedar bagi mengawal respon dalaman yang turut ada kaitan secara saintifik kepada rembesan homon depomine, oxytocin, serotonin, endorphin dan kesannya kepada tubuh badan termasuk tahap kerentanan sistem imun.

“Momentum Reda merupakan langkah keempat dalam membina kekuatan dalam menundukkan segala lonjakan emosi negative.

“Sesi ini menjawab perbezaan antara sabar, reda dan putus asa. Emosi yang datang ibarat badai menghempas pantai dan akan beralun tenang, dikala hati dapat menguasai emosi.

“Terbit rasa sedar dan menikmati ‘bungkusan’ hadiah dugaan-ujian adalah suatu nikmat untuk disyukuri,” katanya yang menjadi wanita Islam pertama Malaysia mendapat pengiktirafan sebagai ahli Fellow Royal College of Surgeons (FRCS) di Edinburgh.

Datuk Prof Dr Muhaya ketika di temubual oleh Malaysia Gazette di butik beliau di Kajang,Selangor. Foto FIKRI YAZID.

Dr Muhaya memberitahu, rentetan dari jiwa dan emosi yang tenang akan dapat membuka pelbagai daya fikir yang kreatif menerusi momentum kelima.

Ujar beliau,menjawab bagaimana satu situasi yang sama, memberi kesan berbeza kepada jenis emosi yang sedang didepani.

Menurutnya, individu  yang sedar dan tenang akn dapat mengimbangi emosi sementara yang sedang kekusutan akan tenggelam dan lemas dalam emosi sendiri.

“Momentum Cinta Tanpa Syarat adalalah langkah kemuncak di mana bibit-bibit jelasnya titik kedamaian antara emosi dalaman dan reaksi persekitaran.

“Sesi ini melatih ruang sedar emosi untuk melakukan antara perkara paling sukar sebagai insan biasa iaitu ‘buat baik pada orang yang buat tak baik pada kita’ sebagai satu amalan sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW sebagai contoh paling sempurna bahawa hanya kasih sayang tanpa syarat sahaja yang dapat menyelesaikan majoriti isu kehidupan seharian,” katanya wanita berusia 62 tahun itu.

Sementara itu, PMC Plus 6 adalah rakaman kelas atas talian dalam bahasa Melayu yang boleh diikuti oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur, bangsa mahupun latar belakang sosial kerana iainya disampaikan dengan bahasa yang ringkas dan mudah dihadam.

Ianya boleh ditonton berulang-ulang kali untuk tempoh 90 hari dari tarikh kelas bermula di https://elearning.profmuhaya.com/. – MalaysiaGazette