Home Sukan Kaki Jersi dapat pengiktirafan, taja 2 pasukan Liga M

Kaki Jersi dapat pengiktirafan, taja 2 pasukan Liga M

Ketua Pegawai Eksekutif Kaki Jersi, Harfat Rusman (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Kaki Jersi, Nor Akmar menunjukkan plak penaja rasmi pakaian Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan semasa temubual bersama Malaysia Gazette di Kaki Jersi Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengeluar jersi tempatan, Kaki Jersi Sdn. Bhd. (Kaki Jersi) mencipta sejarah sendiri apabila menaja dua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Pengasas Bersama Kaki Jersi, Harfat Rusman berkata, pasukan adalah Perak FC dalam Liga Super yang turut melibatkan tajaan ke atas pasukan feeder, Perak II selain skuad Presiden dan Belia negeri itu.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif berkata, pihaknya turut berbangga kerana dapat menaja pasukan Negeri Sembilan FC dalam Liga Premier termasuk skuad Presiden dan Belia.

“Tahun lalu, kami pernah mendapat tawaran menaja pasukan dalam Liga Laos dan Liga 2 Jepun namun terpaksa menolaknya gara-gara penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Namun rezeki tidak pernah salah alamat apabila dapat menaja dua pasukan dalam Liga M. Bermula mendapat jemputan tender, selepas itu proses kerjasama itu berjalan lancar sehingga termeterai perjanjian tajaan.

“Kaki Jersi berharap dengan tajaan ini dapat membuka peluang lebih besar kepada pengeluaran produk barangan sukan dalam segmen gaya hidup seperti beg dan topi di bawah logo Kaki Jersi,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaki Jersi, Harfat Rusman bercakap semasa temubual bersama Malaysia Gazette di Kaki Jersi Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2021.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di kilang Kaki Jersi di Batu Caves di sini hari ini.

Turut hadir Pengasas Bersama Nor Akmar Ahmad yang juga Ketua Pegawai Operasi.

Kaki Jersi ditubuhkan bersama oleh Harfat dan Nor Akmar pada 2014 yang hanya bermula beroperasi di sebuah bilik sebelum berpindah ke rumah kedai pada 2016 sebelum memiliki kilang sendiri di Batu Caves pada 2019.

Ketika ini, Kaki Jersi memiliki 31 kakitangan dengan kapasiti pengeluaran jersi mencecah 8,000 hingga 10,000 helai sebulan.

Mengulas lanjut Harfat menambah, bermula tajaan dengan liga komuniti dan Liga Sosial, pihaknya pernah menaja dua pasukan luar negara di Kemboja dan Indonesia pada 2018 dan 2019.

“Selalunya, syarikat akan bermula menaja di liga dalam sendiri dalam dahulu namun berlainan dengan pendekatan Kaki Jersi yang menaja pasukan luar negara sebelum kembali ke liga tempatan.

“Apa pun ini merupakan satu permulaan yang bagus kepada jenama tempatan bersaing agar mendapat tempat di hati penyokong bolasepak dalam mengutamakan pembelian produk buatan Malaysia berbanding jenama pakaian sukan antarabangsa yang berada di pasaran tempatan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaki Jersi, Harfat Rusman (kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Kaki Jersi, Nor Akmar menunjukkan koleksi jersi Malaysia 2021 semasa temubual bersama Malaysia Gazette di Kaki Jersi Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2021.

Jenama jersi buatan Malaysia yang terkenal itu melangkah lebih jauh ke luar negara apabila menaja pasukan Soltilo Angkor FC dalam Liga Kemboja dan Persirap Jepara dalam Liga 2 Indonesia.

Sementara itu, pada awal tahun 2020, Kaki Jersi berjaya menjadi di antara tujuh rakan penaja rasmi bagi memperkasakan musim kedua Malaysia Premier Futsal League (MPFL) iaitu MPFL 2020 pada 14 dan 15 Mac 2020.- MalaysiaGazette

Ketua Pegawai Eksekutif Kaki Jersi, Harfat Rusman (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Kaki Jersi, Nor Akmar (kanan) bergambar bersama pekerjanya selepas temubual bersama Malaysia Gazette di Kaki Jersi Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 FEBRUARI 2021.