KEPALA BATAS – Terjun dalam longkang, enggan turun dari atas bumbung serta lari bertempiaran.
Itu reaksi sekumpulan pendatang asing tanpa Izin (Pati) apabila menyedari kehadiran anggota penguatkuasa di tapak projek perumahan banglo di Bertam 2 di sini hari ini.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota pengguatkuasa yang dianggotai Polis Diraja Malaysia, Imigresen, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berjaya menahan 49 Pati dalam Ops Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tapak pembinaan tersebut.
Operasi bermula jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu membawa kepada tangkapan warga Rohingya seramai 23 orang, Indonesia (14) dan Bangladesh (12).
Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, operasi itu dilakukan bagi memastikan majikan serta pekerja mematuhi SOP yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Jelas beliau, pelbagai reaksi warga asing berkenaan bagi mengelakkan diri mereka diberkas ketika serbuan termasuk enggan turun dari atas bumbung serta terjun ke dalam longkang.
“Dalam serbuan itu, seramai 49 warga asing diberkas atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri yang sah serta tinggal lebih masa.
“Selain itu, siasatan juga mendapati seramai 20 individu yang diberkas gagal menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19,” katanya kepada pemberita sebaik selesai operasi.
Turut bersama dalam operasi itu, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sementara itu, Pengarah CIDB Negeri, Zahidi Hashim berkata, pihaknya mengeluarkan notis kepada kontraktor tapak pembinaan itu gagal mengemukakan maklumat pekerja.
“Kita percaya tangkapan hari ini melibatkan separuh daripada jumlah sebenar dan majikan perlu membuat penambahbaikan bagi memastikan pekerja mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujar Zahidi.
Kesemua tangkapan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut. -MalaysiaGazette