Home Utama Semak semula undang-undang, elak pihak cabar hukum Islam – Pembela

Semak semula undang-undang, elak pihak cabar hukum Islam – Pembela

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam, Aminuddin Yahaya pada sidang media keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kuasa Mahkamah Syariah terhadap jenayah seks luar tabii di Pejabat Pertubuhan MUAFAKAT, Selangor. Foto SHAFITY ZUL, 25 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa majlis agama Islam di negeri-negeri membuat kajian terperinci dan semakan bagi memastikan tiada lagi interpretasi berbeza dalam hukuman jenayah dalam agama itu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, mereka merupakan pihak yang paling ke hadapan dan bertanggungjawab melihat perkara itu.

“Majlis agama Islam negeri-negeri harus mengambil tindakan segera mungkin untuk menghalang mana-mana pihak mencabar hukum Islam pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Melawati hari ini.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara membenarkan cabaran undang-undang seorang lelaki terhadap Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan undang-undang syariah di Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai satu jenayah.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Aminuddin tidak menolak kemungkinan keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara tidak langsung mengurangkan kuasa Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama di setiap negeri.

“Kita mohon sembah Majlis Raja-Raja beri perhatian ini penambahbaikan terhadap undang-undang syariah di negeri kerana mereka ketua agama, pandangan mereka akan beri impak kepada perundangan negara kita,” katanya.

Selain itu, Pembela juga menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan membuat semakan dalam Perlembagan dan membuat pindaan bagi memastikan undang-undang Islam tidak dicabar.

“Kita harap Menteri Undang-Undang ambil tindakan yang sesuai dengan negara Islam dan majoriti umat Islam. Ini bukan bermakna kita menolak agama lain yang sedia ada di negara ini,” katanya.

Susulan keputusan itu juga, Aminuddin juga menyarankan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam mengangkat semua cadangan daripada pelbagai termasuk Pembela sendiri untuk keabsahan supaya Islam tidak dicabar.

“Kita minta perkara ini diambil tindakan segera dan sudah dua tahun dikemukakan ke Istana Negara di Jalan Istana Negara sebelum ini.

“Rakyat tak tahu status cadangan itu sudah puluhan tapi tak tahu di mana akhirnya. Kita tak mahu supaya keputusan yang mendukacitakan umat Islam ini berulang lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Undang-undang Syariah kaitkan seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah – Mahkamah Persekutuan

1 Komen

  1. Wei agamawan2 jgn diam, esuk nak jwb sama2 ke dgn yg geng 9 orgni.. kalau salah lah kan , ana punya paham ada geng yg lain ni pule ckp apa2 undang2 mana2 kerajaan di mana2 negara termasuk mesia bukanlah berunsur devine atau ilahi.. ia hanyalah tafsiran je.. fuuyoohh.. kalah say citer khurafat..

Comments are closed.