BANGKOK – Thailand bakal menyaksikan rombakan kabinet susulan tiga menteri terpaksa meletak jawatan selepas mahkamah mendapati mereka bersalah melakukan pemberontakan ketika tunjuk perasaan antikerajaan pada 2013 dan 2014, terhadap pentadbiran pimpinan Yingluck Shinawatra.
Menteri Ekonomi Digital Buddhipongse Punnakanta, Menteri Pendidikan Nataphol Teepsuwan dan Timbalan Menteri Pengangkutan Thaworn Sennea bersama 23 defendan lain didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah di Bangkok .
Mahkamah pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan empat bulan.
Mereka adalah antara 39 individu yang didakwa atas pelbagai tuduhan dan mengaku tidak bersalah semasa perbicaraan di Mahkamah Jenayah pada 2018.
Menurut Bangkok Post, 26 daripada 39 yang didakwa didapati bersalah melakukan pemberontakan, perhimpunan haram dan menghalang pilihan raya serta merosakkan harta benda kerajaan antara November 2013 dan Mei 2014 untuk menggulingkan pemerintahan Yingluck.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam berkata ketiga-tiga menteri kabinet mesti segera meletak jawatan kerana hukuman penjara telah dijatuhkan.
Di bawah Seksyen 160 (7) perlembagaan 2017, orang yang dijatuhkan hukuman penjara tidak boleh menjadi menteri kabinet, sama ada kes itu telah selesai atau hukuman penjara ditangguhkan, kecuali dalam kes pertuduhan kecil atau melibatkan fitnah.
Namun, berdasarkan perlembagaan mereka boleh membuat rayuan di ke mahkamah lebih tinggi.
Selain tiga menteri kabinet itu, Mahkamah Jenayah juga menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban.
Suthep, pemimpin Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC), mengetuai demonstrasi menentang kerajaan Yingluck yang membawa kepada rampasan kuasa tentera pada 2014 diketuai pemimpin junta tentera dan Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha.
Prayuth kekal sebagai perdana menteri selepas rampasan kuasa dan dipilih menjadi Perdana Menteri pada 2019.- BERNAMA