KUALA LUMPUR – Seramai 15,409 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 19 pekerja asing didapati positif virus itu.
“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 506,893 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 26,231 majikan.
“Daripada jumlah ini, seramai 8,548 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 498,345 lagi adalah negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga kini, tambah beliau, sebanyak 1,489 buah klinik terlibat dengan program saringan tersebut.
Ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu.
Sementara itum Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melakukan 41 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, satu tapak pembinaan tidak mematuhi peraturan dan diarahkan tutup serta-merta.
Tambah beliau, secara keseluruhannya, CIDB telah melakukan 15,784 pemeriksaan melibatkan 8,937 tapak binaan sejak 20 April tahun lalu. – MalaysiaGazette