KUALA LUMPUR – Penulisan buku sejarah, apatah lagi jika digunakan sebagai buku teks sekolah di sekolah-sekolah bantuan kerajaan seharusnya dihasilkan menerusi kajian saintifik dengan fakta tepat, dokumen yang betul dan menceritakan kejadian sebenar.
Kandungannya bukan satu bentuk penulisan ringkas yang boleh ditulis atau diolah dengan sewenang-wenangnya seperti buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekarang.
Pakar sejarah negara, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, walaupun penulisan buku sejarah memerlukan banyak sumber rujukan tetapi prosedur pengolahan perlulah dipatuhi kerana itulah ciri-ciri penulisan sejarah.
Penulisan sejarah bukan semudah menulis Whatsapp kerana implikasi besar kepada negara dan rakyat.
Beliau yang berpengalaman menulis buku teks sejarah sekolah menegaskan, buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang digunakan sekarang bukan sahaja tidak menonjolkan sejarah Malaysia dengan betul dan tepat tetapi skopnya juga terlalu luas – melibatkan sejarah dunia dan Asia Tenggara.
Malangnya, sejarah Malaysia yang sepatutnya dijadikan ‘pusat’ agar skop lebih luas untuk generasi muda bagi mengetahui dan mendalaminya hanya mendapat tumpuan sedikit.
Ramlah yang mengkaji buku sejarah ini dari setiap muka surat dan ayat demi ayat melahirkan rasa kecewa kerana pengolahan buku tersebut begitu longgar sehingga menjadikan penceritaan sejarah negara menjadi ‘cair’.
Menurut beliau, dalam Bab 2 – Kebangkitan Nasionalisme – bab ini menerangkan tentang gerakan nasionalisme sedunia kemudian memperincikan gerakan nasionalisme kiri zaman pra merdeka di Tanah Melayu yang pro komunis.
Dakwanya, banyak perkara yang cuba diketepikan dan disembunyikan dalam penghuraian sejarah politik Tanah Melayu, terutama antara tahun 1945-1948.
”Tokoh-tokoh besar pejuang kemerdekaan daripada golongan agamawan, orang surat khabar dan persatuan-persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu yang disatukan oleh UMNO tidak diberi pendedahan yang wajar,” katanya kepada MalaysiaGazette
Akibatnya, buku ini menanamkan benih bahawa fahaman sosialis dan komunis adalah tidaklah buruk sebagaimana yang ditohmahkan selama ini.
Dalam Bab 3 – Konflik Dunia dan Pendudukan Jepun di Negara Kita – skop perbincangan adalah sangat luas sekali kerana menceritakan konflik dunia sejak Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
Skop ini sangat berat untuk difahami dan guru-guru terpaksa mempunyai pengetahuan yang banyak dan luas untuk memberi fahaman kepada murid.
Peta Eropah yang kompleks, tokoh-tokoh terlalu ramai dan time line yang sarat dengan fakta itu akan jadi anti-tesis kepada pembelajaran dan pengajaran.
”Guru dipercayai akan meminta pelajar menghafalnya, ini tidak elok untuk interpertasi dan empati sejarah.
“Sebenarnya, pada pandangan saya, Perang Dunia Pertama ini tidak perlu diperdalamkan kerana ia tidak memberi kesan kepada Tanah Melayu, kecuali Perang Dunia Kedua, yang melibatkan kita secara langsung kerana penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu, 1942-1945,” katanya.
Bab 4 – Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita dan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menjadi bahagian penting dalam sejarah Malaysia tetapi tidak dititikberatkan.
Ia terutama bagi sejarah nasionalisme dan politik orang Melayu, yang diwakili UMNO.
“Sayangnya dalam bab ini gagasan Malayan Union itu tidak ditititkberatkan kepada Tanah Melayu, sebaliknya kepada British. Sedangkan ini buku teks sekolah yang sewajarnya menceritakan tentang kedudukan negara.
“Mana kandungan raja-raja yang turut menentang Malayan Union?
“Pengolahan sebegini akan mengurangkan semangat patriotism dan cintakan negara kita,” jelas Ramlah lagi.
Beliau seterusnya mempersoalkan tentang kandungan Bab 5 – Persekutuan Tanah Melayu.
Artikel berkaitan: Buku teks Sejarah Tingkatan 4 diterbit melalui proses ketat – KPM
Julang komunis sebagai pejuang, Pemuda UMNO desak tarik balik buku Sejarah Tingkatan 4
Kesal KPM masih guna buku teks Sejarah Tingkatan 4 – NGO
Beliau mempersoalkan penerangan mengenai gerakan nasionalis radikal terlalu terperinci dalam tajuk-tajuk berkaitan seperti Gerakan Nasionalis Radikal Melayu, Gabungan Putera-AMCJA, Sumbangan Nasionalis Radikal, Cadagan Putera AMCJA dan Perlembagaan Rakyat.
Paling menonjol ada keratan akhbar Harta yang berjudul Kemuncak Perjuangan Putera AMCJA yang dilihat tiada apa-apa signifikan kecuali untuk menerapkan ideologi.
” Pendedahan yang terlalu terperinci mengenai tokoh gerakan nasionalis Melayu radikal dan sumbangan mereka akan mengelirukan pelajar pada hal mereka tidak terlibat dengan rundingan mahupun penolakan dasar British secara terang-terangan seperti yang dilakukan golongan agamawan, nasionalis dan UMNO,” ujar beliau.
Malah, tambahnya, Bab 6 – ancaman Komunis dan Pengisytiharan Darurat menerangkan secara terperinci mengenai kemasukan pengaruhi komunis dan penubuhan parti komunis serta kemasukan komunis ke negara-negara jiran yang lain.
”Pendedahan kemasukan komunis sangat banyak kepada pelajar, untuk apa?
“Pengolahan begini kelihatan usaha mengindoktrin secara halus kepada pelajar bahawa komunis juga turut memperjuangkan kemerdekaan dan menunjukkan ia perlu diterima. Hakikat sebenar orang Melayu melalui UMNO yang menggerakkan usaha kemerdekaan.
“Orang yang tidak ada peranan diadakan. Yang menentang dijadikan hero.
“Parti Komunis Malaya menyerang balai polis ditulis tetapi berapa banyak kejayaan yang dicapai oleh askar-askar Melayu ketika berdepan dengan komunis tidak ditulis.
“Bab ini menunjukkan semua fakta-fakta tidak ada makna dalam tajuk. Bab ini langsung tidak tidak memasukkan perjuangan orang Melayu. Penerapan konsep Malaysian Malaysia diterapkan daripada awal. Tidak menonjolkan perjuangan agamawan untuk memisahkan agama dan politik,” tambahnya.
Ramlah berkata, penulisan sejarah memerlukan ruang akademik, lantaran itu ia perlu diolah dan diceritakan dengan fakta walaupun ia ada hubung kait dengan politik kerana itulah sejarah.
Tegasnya, sejarah mesti ditulis secara tersusun, sejajar dengan keperluan negara sendiri tanpa perlu mendewa-dewakan negara, pemimpin dan tokoh negara luar.
Buku teks sejarah ini sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai keutamaan – yang lain-lain sepatutnya sebagai latar belakang sahaja.
“Sedihnya, tiga per empat buku teks ini mengandungi negara luar dan suku sahaja Malaysia.
“Berbeza dengan buku teks sejarah di Indonesia dan Filipina yang langsung tidak mengambil peduli pun perihal sejarah negara luar kerana bagi mereka generasi muda negara perlu diisi dan diterapkan semangat nasionalisme.
“Manakala buku teks ni sejarah negara sendiri disenyapkan,” menurut beliau lagi.
Ramlah berkata: “Setiap buku teks baharu biasanya akan digunakan selama 10 tahun. Malangnya kandungan dan pengolahan buku ini dikhuatiri tidak baik untuk digunakan oleh generasi muda kerana ia memberi interpretasi berbeza tentang sejarah negara, kemerdekaan, isu perkauman dan sebagainya.
“Lebih memalukan lagi buku ini adalah buku rujukan Sijil Pelajaran Malaysia, yang mana kandungannya maklumatnya salah dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka,” dakwa beliau lagi. – MalaysiaGazette
Padahnya ikhtiraf bekas anggota dan talibarut komunis sebagai warga tempatan tanpa repatriasi dan deportasi selepas Tanah Besat China bersetuju tidak lagi membiayai Parti Komunis Malata.