KUALA LUMPUR – Calon-calon yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diingatkan supaya memastikan mereka sihat serta tidak mempunyai gejala sebelum hadir ke pusat peperiksaan.
Calon juga dikehendaki mengisi borang deklarasi saringan Covid-19 bagi mengisytiharkan status kesihatan mereka setiap hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, sepanjang minggu peperiksaan, ibu bapa perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak-anak mereka dan memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya anak-anak
mereka itu menunjukkan sebarang gejala.
“Semasa di pusat peperiksaan, langkah-langkah pencegahan Covid-19 perlu sentiasa diamalkan seperti memakai pelitup
muka, kerap mencuci atau mensanitasi tangan, tidak berkongsi peralatan atau alat tulis dengan calon lain, serta mematuhi
penjarakan fizikal.
” Perkara ini perlulah sentiasa diamalkan sebelum, semasa mahupun selepas menjalani peperiksaan,” katanya menerusi kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, calon juga disarankan supaya menghadkan pergerakan mereka dan mengurangkan kontak sepanjang musim peperiksaan bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 serta dapat menjawab semua soalan peperiksaan dengan jayanya.
Beliau turut menasihati agar semua pihak yang terlibat dengan peperiksaan awam termasuk calon, petugas peperiksaan, pihak
pentadbir, ibu bapa, dan penjaga supaya sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam dalam norma baharu yang telah ditetapkan. – MalaysiaGazette