Home Nasional Naikkan kompaun secara progresif, bukan untuk memufliskan rakyat – Najib

Naikkan kompaun secara progresif, bukan untuk memufliskan rakyat – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kenaikan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak patut dipukul rata kerana bukan semua pelanggaran adalah kesalahan serius.

Datuk Seri Najib Razak berkata, bagi kesalahan yang kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif.

Bukan untuk memufliskan rakyat, katanya.

Menurut beliau, bagi kesalahan kurang serius, dendanya boleh dinaikkan secara progresif.

Contohnya, kesalahan pertama sebanyak RM1,000 kesalahan kedua RM3,000, kali ketiga RM6,000, kali keempat dan seterusnya RM10,000.

Bekas perdana menteri itu berkata, kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

”Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Lagipun, tambah beliau, SOP juga patut konsisten dan tidak boleh sering flip-flop sehingga pegawai penguatkuasa dan rakyat pening kepala.

Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

”Ianya menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

+ posts