AMSTERDAM – Parlimen Belanda meluluskan usul tidak mengikat dengan menyatakan tindakan terhadap penduduk minoriti Muslim Uighur di China sama seperti penghapusan etnik.
Kenyataan itu adalah yang pertama dari negara Eropah.
Aktivis dan pakar hak asasi Pertububan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan terdapat sekurang-kurangnya satu juta umat Islam ditahan di kem di wilayah barat Xinjiang.
Para aktivis dan beberapa ahli politik Barat menuduh China menggunakan kaedah penyeksaan, kerja paksa dan pensterilan ke atas Uighur
China menafikan adanya pelanggaran hak asasi manusia, sebaliknya mengatakan kem tersebut memberikan latihan vokasional dan ia diperlukan untuk memerangi ekstremisme.
“Pembunuhan beramai-ramai terhadap minoriti Uighur terjadi di China,” kata usul itu, yang secara langsung mengatakan bahawa pemerintah China bertanggungjawab.
Kanada meluluskan resolusi yang melabelkan China melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Uighur awal minggu ini.
Usul Belanda mendakwa, tindakan yang dibuat oleh pemerintah China itu sebagai “langkah-langkah yang bertujuan untuk mencegah kelahiran” dan “mengadakan kem hukuman” yang jatuh di bawah Resolusi PBB 260, yang secara umum dikenal sebagai konvensyen pembunuhan beramai-ramai.
Parti VVD konservatif yang dipimpin oleh Perdana Menteri Mark Rutte memilih untuk menentang resolusi tersebut.
Menteri Luar Negeri, Stef Blok memeberitahu, kerajaannya tidak mahu menggunakan istilah pembunuhan beramai-ramai kerana keadaan itu belum dinyatakan seperti itu oleh PBB atau oleh mahkamah antarabangsa.
“Situasi orang Uighur menjadi perhatian besar,” kata Blok kepada wartawan setelah usul itu disahkan, sambil menambah bahawa Belanda berharap dapat bekerjasama dengan negara-negara lain dalam hal ini. – MalaysiaGazette