Home Ekonomi SC anjur Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal buat kali pertama

SC anjur Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal buat kali pertama

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal, satu program untuk mewujudkan lebih kesedaran dan keterhubungan antara syarikat hijau dan pasaran modal.

Edisi pertama NaviGate, yang diadakan secara maya, tertumpu pada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan saluran pembiayaan alternatif pasaran modal yang tersedia melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan
setara (P2P).

Seramai 100 peserta dan 40 PMKS dari sektor teknologi hijau dan tenaga lestari di Malaysia mengambil bahagian dalam program yang menghubungkan mereka kepada platform ECF dan pembiayaan P2P.

ECF dan pembiayaan P2P menawarkan alternatif kepada mekanisme pembiayaan tradisional, kerana platform ini menyediakan pilihan pembiayaan berskala lebih kecil untuk memenuhi keperluan pembiayaan mereka.

Katanya, Kaji Selidik Pembiayaan Hijau yang dijalankan oleh SC pada 2020, juga mengetengahkan permintaan tinggi terhadap pilihan pembiayaan berskala lebih kecil dan peluang pembiayaan yang belum dimanfaatkan dalam segmen PMKS hijau.

“Sejak dilancarkan, jumlah dana yang telah dikumpulkan melalui platform digital ini telah mencapai sebanyak RM1.3 bilion setakat akhir Disember 2020, yang memannfaatkan sekitar 3,000 PMKS.

”Sebilangan syarikat telah mengakses ECF dan pembiayaan P2P untuk mengumpul dana bagi projek dan perniagaan hijau mereka seperti tenaga suria pengurusan sisa, dan kecekapan tenaga,” menurut Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.

Menurutnya, kerajaan sedar peranan penting yang dimainkan PMKS dalam menyumbang ke arah pertumbuhan, pewujudan pekerjaan dan inovasi negara, dan telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta dan RM50 juta dalam
Belanjawan 2021, masing-masing bagi pelaburan ECF dan P2P, melalui Malaysia Co-Investment Fund.

NaviGate menunjukkan penekanan berterusan oleh SC untuk memupuk keterangkuman pasaran modal dan memudahcarakan penyegeraan agenda SRI bagi pasaran modal Malaysia, sebagai pelengkap kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh Capital Markets
Malaysia.

Sesi julung kali tersebut disokong oleh Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTCCC) dan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

PMKS yang ingin mengambil bahagian dalam program NaviGate seterusnya boleh mengemukakan minat mereka kepada [email protected]. – MalaysiaGazette