KALLANG – Seorang lelaki meninggal dunia setelah dilanggar kereta api di stesen MRT Singapura malam tadi.
Singapura Mass Rapid Transit (SMRT) yang mengesahkan kejadian itu berkata, perkara itu dimaklumkan oleh kapten kereta api itu pada jam 9 malam.
“Seorang kapten kereta api melaporkan telah melanggar sebuah objek di stesen MRT.
”Insiden itu berlaku di Laluan Timur-Barat menghala Pasir Ris,” katanya menerusi Facebook.
Sejurus menerima laporan tersebut, pengurus stesen telah dikerahkan ke landasan kereta api dan menemui seorang lelaki tidak bergerak, kira-kira 150 meter dari stesen berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Susulan insiden itu, perkhidmatan kereta api telah digantung sementara antara stesen Bugis dengan Aljunied di kedua-dua arah serta stesen Lavender dan Kallang.
Punca kejadian masih dalam siasatan. -MalaysiaGazette