GEORGE TOWN – Tiga penjawat termasuk seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superitendan (ASP) direman hari ini bagi membantu siasatan menerima suapan berjumlah RM500,000.
Selain tiga lelaki itu, seorang ahli perniagaan turut direman atas siasatan yang sama.
Pegawai berusia 43 tahun bersama seorang anggota polis berpangkat lans koperal, 40, dan seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), 36, direman dua hari bermula hari ini.
Manakala, orang awam berusia 29 tahun pula direman empat hari hingga 1 Mac ini.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md Eusoff di Mahkamah Majistret Sivil Georgetown di sini.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah.
ASP dan kakitangan MBPP diwakili peguam, K. Kumaran manakala lans koperal itu pula diwakili peguam, V. Muniandy.
Bagaimanapun, tiada peguam mewakili ahli perniagaan tersebut.
Terdahulu, kesemua empat lelaki yang diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Georgetown kira-kira jam 10.30 pagi.
Sementara itu, sumber MalaysiaGazette memberitahu anggota polis berkenaan dipercayai bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah kira-kira dua tahun lalu.
“Kita difahamkan mereka (anggota polis) dari bahagian jenayah dan narkotik itu akan membocorkan maklumat serbuan kepada sindiket dadah.
“Orang awam serta kakitangan MBPP itu turut dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket yang mengedar dadah di sekitar Pulau Pinang.
“Siasatan setakat ini mendapati mereka memperoleh suapan berjumlah RM500,000 dan rasuah itu diberikan secara bayaran bulanan,” ujar sumber. -MalaysiaGazette