LONDON – Bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry meletakkan jawatannya sebagai pengurus pasukan kelab Major League Soccer (MLS) Montreal.
Laporan media Amerika Syarikat mendakwa bekas bintang Barcelona dan Perancis itu mengambil keputusan demikian atas alasan peribadinya.
Henry telah mengemudi pasukan MLS itu sejak November 2019.
Henry, 43, baru-baru ini disenarai pendek sebagai pengurus baharu Bournemouth.
Dengan rasa penuh berat hati Henry menjelaskan bahawa dia meninggalkan kelab itu atas alasan peribadinya setelah lama meninggalkan keluarganya.
”Oleh kerana pandemik maut (Covid-19) saya tak dapat melihat atau meluangkan masa bersama anak dan isteri yang tinggal berjauhan.
“Malangnya sekatan Covid-19 dan berhijrah semula ke AS untuk beberapa bulan akan datang, ia tidak mendatangkan sebarang perubahan.
“Perpisahan dari keluarga saya adalah satu penderitaan yang teruk terpaksa saya dan juga anak-anak saya lalui selama lebih setahun ini,” ujarnya.
Henry menjelaskan dia akan pulang semula ke London sambil merakamkan penghargaan kepada Montreal atas peluang indah mengemudi kelab itu selama setahun empat bulan.
Sebelum ini, Henry menghabiskan masa tiga bulan dengan menguruskan kelab Ligue 1 Perancis, Monaco semasa kempen 2018-19 sebagai pembantu kepada Roberto Martinez.
Pengarah Montreal Olivier Renard berkata, peninggalan Henry adalah satu kehilangan besar untuk kelab serta dianggap pramatang kerana dia mengemudi kelab dengan baik dan cemerlang.
“Namun kami terpaksa akur dengan hasratnya mahu kembali semula bersama keluarganya.
“Saya hormati dia sebagai seorang manusia berjiwa penyayang kerana sanggup berpisah dengan keluarga lebih setahun demi pembangunan pasukan Montreal.
“Pintu kelab ini sentiasa terbuka dan mengalu-alukannya jika dia ingin kembali semula ke sini,” katanya.-MalaysiaGazette