KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.2 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.
Dalam kenyataan hari ini, KWSP juga mengumumkan dividen 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.
Agihan dividen keseluruhan bagi 2020 adalah RM47.64 bilion itu didorong oleh prestasi yang kukuh dari aspek operasi dan kewangan bagi tahun 2020
“Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah mengatasi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut,” menurut KWSP.
KWSP juga, menurut kenyataan itu, telah berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan untuk 2020 walaupun mengharungi situasi yang tidak terjangka iaitu pandemik COVID-19, dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata: “KWSP telah berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.”
Menurut beliau, ada ketikanya KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka.
Ahmad Badri berkata, penyebaran dan kebolehjangkitan COVID-19 yang pantas telah menyebabkan ianya sukar dibendung dan dikawal.
Namun, katanya, langkah proakti KWSP dalam menangani kesan wabak tersebut telah membantu kumpulan itu untuk mengatasi pelbagai cabaran.
“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi,” katanya.
“Tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum.
“Kami juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan. Kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap juga telah melancarkan proses penyesuaian diri kami dengan norma kerja yang baharu,” katanya.
KWSP juga telah mengimbangi semula portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan teliti yang menyeluruh.
Ini mengambil kira pelbagai peristiwa global seperti pandemik COVID- 19, ketidakpastian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada bulan November 2020, perang dagangan AS-China yang berterusan serta kesan daripada perundingan Brexit kepada pasaran modal di seluruh dunia. – MalaysiaGazette