KEPALA BATAS – Seorang penternak kambing kerugian hampir RM25,000 apabila 25 ternakannya rentung dalam kebakaran di Jalan Permatang Kerai Besar di sini malam tadi.
Kejadian jam 10 malam itu disedari Talib Mat Sa’ad,65, selepas melihat api menjulang di kandang kambing yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Jelas Talib, sudah menjadi rutinnya membakar najis kambing di bahagian bawah kandang tersebut, namun tiada menyangka akan berakhir dengan kejadian sebegini.
“Selalunya kalau najis dah banyak saya akan membakar dan ketika tinggalkan kandang tadi saya dapati hanya tinggal bara. Tidak sangka tiba-tiba semua hangus dijilat api.
“Api marak dengan cepat menyebabkan saya gagal menyelamatkan semua 25 kambing itu, termasuk dua ekor kambing jantan yang baru dibeli,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya lagi, ternakan kambing itu diusahakannya sejak tujuh tahun lalu untuk dijual bagi tujuan ibadah korban dan aqiqah.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Shuhaimi Che Me berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran pada jam 10.18 malam sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba kita dapati api sedang marak pada kandang kambing yang dibina dengan struktur kayu.
“90 peratus kandang itu terbakar menyebabkan semua 25 ekor kambing rentung dalam kebakaran.
“Pemilik kandang kambing tersebut memaklumkan kebakaran berpunca daripada pembakaran najis kambing di bahagian bawah kandang tersebut.
“Api berjaya dikawal pada jam 10.40 dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.04 malam,” kata Muhammad Shuhaimi. – MalaysiaGazette