Home Ekonomi Bursa Malaysia dijangka uji semula paras 1,600 mata minggu depan

Bursa Malaysia dijangka uji semula paras 1,600 mata minggu depan

Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka menguji semula paras 1,600 mata minggu depan, dengan saham berkaitan pemulihan dan vaksin mungkin menjadi tumpuan susulan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada Rabu lepas.

Ketua Jualan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata, pengumuman prestasi kewangan korporat yang lebih baik berbanding dengan jangkaan sejak beberapa hari lepas juga akan menyokong bursa tempatan minggu depan.

“Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,560 hingga 1,590 minggu depan.

“Bagaimanapun, dengan banyaknya prestasi kewangan korporat yang mengatasi jangkaan pasaran seperti yang diumumkan, maka indeks utama diunjurkan menguji kembali paras 1,600 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia mengalami corak dagangan Turun naik sejak minggu lepas, dengan indeks utama pasaran ditutup pada paras terendah harian bagi tiga hari berturut-turut.

Sentimen pelabur dipengaruhi terutama oleh program vaksinasi, prestasi semalaman Wall Street dan pasaran serantau serta prestasi kewangan korporat.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI yang menjadi penanda aras pasaran, susut 7.18 mata kepada 1,577.75 daripada 1,584.93 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 27.44 mata kepada 11,614.17 dan Indeks FBMT 100 kurang 18.34 mata kepada 11,302.0.

FBM 70 susut 101.82 mata kepada 15,461.17, Indeks FBM ACE merosot 375.10 mata kepada 10,873.52 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 139.94 mata kepada 12,979.15.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 129.56 mata kepada 15,002.34, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 3.07 mata kepada 185.34 namun Indeks Perladangan kurang 11.72 mata kepada 7,177.33.

Indeks Tenaga turun 15.06 mata kepada 931.89, Indeks Teknologi susut 0.94 mata kepada 88.97 dan Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 259.87 mata kepada 3,191.67.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 57.72 bilion unit bernilai RM30.94 bilion daripada 61.61 bilion unit bernilai RM28.79 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 36.43 bilion saham bernilai RM26.85 bilion berbanding dengan 40.97 bilion saham bernilai RM23.49 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.34 bilion unit bernilai RM406.84 juta daripada 1.66 bilion unit bernilai RM248.97 juta pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menguncup kepada 18.91 bilion saham bernilai RM13.41 bilion daripada 18.96 bilion unit bernilai RM5.04 bilion. – MalaysiaGazette

 

 

+ posts