KUALA LUMPUR – Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan dengan kecenderungan menurun minggu depan, berikutan peningkatan pulangan ke atas bon, terutama di Amerika Syarikat (AS).
Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Carmen Yoon Kar Min memberitahu Bernama, pulangan itu dijangka terus melonjak sekali gus menjadikan emas kurang menarik bagi pelabur.
Sementara itu, Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley berkata emas sedang bergelut untuk mengekalkan kedudukan pada US$1,800 (US$1 = RM4.045) satu auns ketika pasaran bon AS melonjak tinggi.
“Prestasi emas seterusnya akan bergantung kepada data ekonomi AS dan China untuk bertahan pada paras sekarang.
“Memandangkan kebimbangan mengenai inflasi dengan tumpuan utama kepada bon telah melanda pasaran global, tidak banyak yang saya jangka untuk emas kekal pada prestasi kini,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, niaga hadapan emas di Bursa Malaysia bagi Februari 2021 meningkat 36 mata kepada RM229.80 segram, sementara Mac 2021, April 2021 dan Mei 2021 masing-masing menokok 80 mata kepada RM232.00 segram.
Jumlah dagangan mingguan sebanyak satu lot berbanding dengan sifar minggu lepas manakala kepentingan terbuka kekal pada 13 kontrak.
Sementara itu, harga emas fizikal turun RM6.63 kepada RM222.35 segram pada Jumaat daripada RM228.98 segram pada Jumaat minggu lepas. – MalaysiaGazette