Home Nasional Ibu tunggal syukur terima bantuan persekolahan

Ibu tunggal syukur terima bantuan persekolahan

Shahul Hameed (tiga dari kanan) menyampaikan bantuan persekolahan kepada golongan B40 di negeri Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – “Kalau tak dapat bantuan persekolahan hari ini, anak saya terpaksa guna pakaian rumah untuk ke sekolah esok.

Itulah luahan seorang ibu tunggal yang menyara kehidupan lima anaknya dengan hasil menjual kuih.

Asirah Sulaiman,36, berkata, kehidupan mereka sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas kematian suami akibat jangkitan kuman dalam paru-paru empat tahun lalu.

Asirah bersama anak-anaknya ketika menerima bantuan persekolahan daripada Liga Muslim Pulau Pinang hari ini.

Katanya, berbekalkan kemahiran membuat kuih menjadi tongak utama buat dirinya bagi menyara keluarga termasuk menanggung kos persekolahan anaknya.

“Pendapatan saya tidak seberapa dan saya buntu di mana lagi hendak cari wang bagi membeli kelengkapan persekolahan anak yang berusia 10, 14, 16 dan enam tahun selain menyara anak bongsu berusia empat tahun.

“Mujur ada yang sudi bantu sebelum sekolah buka, jika tidak anak saya terpaksa menggunakan pakaian rumah memandangkan baju mereka sudah lusuh selain seluar tidak muat lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, tiga anak Asirah antara 51 murid dan pelajar daripada keluarga B40 di negeri ini yang terpilih menerima bantuan kelengkapan persekolahan sumbangan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Liga Muslim Pulau Pinang.

Sementara itu, Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed berkata, program berkenaan sudah dijalankan pihaknya sejak 20 tahun lalu.

“Setiap seorang daripada mereka menerima sepasang baju lengkap, stokin, kasut dan beg sekolah yang dianggarkan berjumlah RM200.

“Kita faham bahawa bantuan daripada pihak sekolah mungkin terhad justeru, kita bantu agar mereka dapat bersekolah seperti pelajar lain,” ujar Shahul Hameed.

Pada 24 Februari lalu, Kementerian Pendidikan memaklumkan murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian biasa sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan 2021.

Kebenaran itu diberikan bermula 1 Mac hingga 26 Mac depan. -MalaysiaGazette