![MGF01022021_SJR ISMAIL SABRI-1](https://staging.malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2021/02/MGF01022021_SJR-ISMAIL-SABRI-1-640x425.jpg)
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Perak bermula esok sehingga 14 Mac ini.
Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan itu adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni asrama serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Jelas beliau, KKM hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di lokasi itu dan sehingga kini ia telah melaksanakan sebanyak 524 ujian saringan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 213 orang dilaporkan positif Covid-19 dan KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismail menambah, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik Perak yang dijadualkan tamat esok.
Jelas belaiu, dalam tempoh PKPD, KKM telah melaksanakan 582 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 16 kes telah direkodkan.
“KKM mengesahkan tiada kes aktif di lokaliti ini, keadaan adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak pada 1 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya. – MalaysiaGazette