Home Ekonomi Ringgit dijangka berdepan tekanan berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka berdepan tekanan berbanding dolar AS minggu depan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka dihimpit tekanan menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan sekiranya hasil Perbendaharaan AS terus mencatat peningkatan.

Penganalisis Kanan Pasaran Asia Pasifik OANDA Jeffrey Halley berkata. para pelabur kini mengalihkan tumpuan mereka terhadap bon susulan peningkatan hasil itu.

“Bagi gambaran lebih menyeluruh, perbandingan ringgit-dolar AS itu selesa pada jajaran tiga bulan pada 4.0000 hingga 4.1000.

“Ringgit berkemungkinan meningkat pada paras tinggi jajaran itu minggu depan, namun terdapat kebimbangan bahawa sebarang tempoh kelemahan yang berlanjutan akan berakhir jika perbandingan ringgit-dolar AS melepasi 4.1000 atau jika China bertindak melemahkan yuan pada penetapan hariannya,” katanya kepada Bernama.

Halley berkata, oleh kerana Malaysia didominasi oleh sektor dan industri, ia diunjur mencatat peningkatan pada tahun ini sekiranya pemulihan global terus ketara.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS pada 4.0450/0443 berbanding 4.0380/0430 pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0443/0490 daripada 3.0489/0534 pada minggu sebelumnya dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7985/8035 daripada 3.8315/8366.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6395/6473 daripada 5.6488/6566 pada minggu sebelumnya namun susut berbanding euro kepada 4.9054/9127 daripada 4.8993/9062 sebelum ini. – MalaysiaGazette