KUALA LUMPUR – Seramai 3,135 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur akan mula menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 bermula hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, mereka akan menerima suntikan di Klinik Kesihatan Jinjang dekat sini dengan sasaran suntikan 240 orang sehari.
Katanya, seramai 253 daripadanya akan menerima suntikan di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya.
“Kita kemuka kesemua pegawai dan anggota berjumlah 8,800 yang ada di Kontinjen Kuala Lumpur sebagai barisan hadapan di ibu negara,
“Tetapi Kementerian Kesihatan memilih dan membenarkan 3.135 pegawai dan anggota mengambil suntikan itu terlebih dahulu yang mana di Klinik Kesihatan Jinjang sahaja melibatkan 2,882 pegawai dan anggota menerima suntikan mulai hari ini,” katanya dalam sidang media pelancaran suntikan vaksin Covid-19 Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang pagi tadi.
Tambah Saiful Azly, pengambilan suntikan vaksin akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama bermula hari ini hingga 18 Mac ini dan fasa kedua dari 22 Mac hingga 8 April ini.
Katanya, fasa kedua pula membabitkan kumpulan sama yang akan hadir semula untuk pengambilan dos kedua dengan purata sasaran 240 orang sehari di klinik sama.
Empat lokasi utama menjadi tempat penyimpanan vaksin berkenaan di ibu negara iaitu di Hospital Kuala Lumpur, Klinik Kesihatan Titiwangsa, Hospital Tuanki Mizan di Wangsa Maju dan Institut Kanser Negara dengan penuh dikawal ketat.
“Manakala pemberian vaksin untuk semua di ibu negara dilaksanakan di 11 lokasi dan klinik kesihatan Jinjang adalah salah satunya manakala yang lain adalah Klinik Kesihatan Cheras, Titiwangsa, , Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Hospital UKM, Institut Jantung Negara dan beberapa lagi.
“Persiapan di klinik Jinjang di sini saya berpuas hati dengan doktor bertungkus lumus memastikan program tercapai dengan persiapan yang teratur dan rapi dengan sesi kaunseling penerangan.
“Mereka yang terpilih untuk vaksin hadir dengan menaiki bas khas dari Ibu Pejabat Kontinjen KL yang mana mereka adalah petugas PDRM barisan hadapan yang ada di lapangan termasuk ketua polis daerah serta pegawai dan anggota trafik,” tegasnya.- MalaysiaGazette