Home Politik Adakah Malaysia sedia terima wanita jadi PM? – Fadwah

Adakah Malaysia sedia terima wanita jadi PM? – Fadwah

Program ‘Jom Sembang Santai’ anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pandan dengan moderatornya, Shahrizal Md Sidek dan turut disertai jurucakap parti Gerakan, Mourhrna A Reddy dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Fadwah Anuwar.

KUALA LUMPUR – Impian rakyat di negara ini mahu melihat pemimpin wanita menjadi Perdana Menteri dilihat masih seperti ‘jauh panggang dari api’.

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Fadwah Anuwar berkata, ia  masih lagi jauh ke belakang memandangkan penyertaan golongan Hawa pada pilihan raya umum masih rendah.

Sambil memberikan data serta statistik calon wanita pada PRU-14, sememangnya angka-angka itu tidak sama dan mengecewakan walaupun populasi wanita di negara ini adalah 15 juta daripada jumlah keseluruhan 32 juta kesemuanya.

“Saya ambil angka ketika PRU yang lepas sahaja memandangkan topik kita ini adalah PM wanita, pastinya politik itu kita tidak dapat lari bukan begitu?

“Jumlah calon wanita yang bertanding untuk kerusi Parlimen ialah 72 orang berbanding calon lelaki sebanyak 615 yang menang pula seramai 33 orang daripada 222 kerusi.

“Dari situ, kita ada lima wakil Kabinet. 167 pula berbanding 1,479 calon lelaki untuk kerusi Dewan Undangan Negeri. Saya jangka inilah juga angka atau lebih kurang sahaja pada PRU-15 nanti.

“Sungguh aneh sekali saya katakan namun realitinya wanita masih tidak mempunyai tempat yang cukup signifikan dalam arena politik.

“Ingat juga kebenaran itu kurangnya representasi wanita dalam pembuat dasar negara adalah sesuatu keadaan yang tidak sihat dan akan menimbulkan masalah sosiobudaya untuk jangka masa panjang.

“Hakikatnya, ini bukanlah sesuatu yang sihat dan perlu dibendung sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Jom Sembang Santai’ anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pandan dengan moderatornya, Shahrizal Md Sidek dan turut disertai Jurucakap Equality Parti Gerakan, Mourhrna A Reddy.

Jelas Fadwah lagi, bilangan wanita dalam Dewan Rakyat hanya seramai 33 orang berbanding 222 keseluruhannya iaitu kurang 15 peratus.

“Jumlah ini tidak mencerminkan kesaksamaan gender dalam proses pembuat dasar. Terus terang saya cakap, ini bukan persepsi mahupun emosi sahaja sebaliknya sejarah politik serta data sudah terbukti, perubahan drastik perlu dilakukan.

“Jika kita lihat, kita sebenarnya sudah jauh ke belakang dari Cuba dan Ghana, jika negara jiran pula, lihatlah Indonesia yang ada Megawati Sukarnorputri atau Pakistan, Benazir Bhutto, tidak lupa di Britain, Margaret Thatcher dan Jacinda Ardern di New Zealand,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mourhrna pula berkata, walaupun kurang penyertaan wanita daripada segi statistik namun hakikatnya ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil.

Lagi pun, katanya, budaya serta pemikiran rakyat di negara ini juga sudah mampu menerima perubahan.

“Jangan kita lupa, kita pernah ada seorang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang pernah menerajui negara dengan jawatan nombor dua itu untuk tempoh 22 bulan lepas.

“Malah pada hari ini, kita juga ada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman yang kehebatannya dalam mengendalikan sesi Dewan Rakyat tidak ada tolok bandingnya.

“Di Malaysia juga kita pernah ada pemimpin berkaliber seperti Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan ramai lagi. 

“Malaysia mempunyai ramai wanita-wanita terutamanya wanita muda yang bijak dan berbakat dalam bidang politik serta mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi.

“Golongan wanita ketika ini juga mempunyai pengalaman luas  sekali gus mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.

“Sudah tiba masa untuk kita berfikir di luar kotak dan penerimaan umum dengan perkembangan sudah nampak dengan perkembangan ketika ini, kita mampu lahirkan pemimpin lebih hebat dari Margerat Thatcher dan Jacinda sebenarnya,” ujarnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Si botak kemaruk sangat nak jadi PM, so sila jadi bapok menyamar jadi wanita okay.

Comments are closed.