KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan pelantikan Aiza Azreen Ahmad sebagai Ketua Pegawai Perniagaan Digitalnya.
Menurut satu kenyataan, pelantikan itu dilakukan agar usaha untuk mencipta semula dan mempertingkah lagi ekonomi digital.
Pengerusi MDEC, Datuk Wira Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pihaknya mempunyai pasukan berbakat dan dengan penyertaan Aiza Azreen agensi itu berhasrat mengukuhkan pengalaman dan kepakaran untuk menjadi sebahagian daripada usaha merealisasikan Malaysia 5.0.
“Ketika ini, jumlah bakat dikenali semakin ramai yang tertarik dengan MDEC dan ini telah memberi nilai tambah kepada pihak berkepentingan, bahkan ia juga membawa perspektif dan dimensi baharu dalam landskap yang pantas berubah dan tidak pernah berlaku sebelumnya.
“Pelantikannya akan membolehkan MDEC memperluas dan memperkukuhkan inisiatif pengembangan perniagaan dan jangkauan dalam ekonomi digital.
“Ini seterusnya membolehkan agensi memenuhi matlamat dan visi digital negara seperti yang diperincikan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL),” katanya.
Tambah kenyataan itu, Azia Azreen juga bertanggungjawab untuk mengawasi dan mengetuai proses adaptasi digital ke dalam ekosistem e-dagang, perniagaan, pembangunan ekosistem data dan Bahagian Infrastruktur Digital MDEC.
Beliau juga akan memimpin untuk mencari peluang bagi meneroka inovasi luaran sekaligus memperluaskan strategi komersial, membina perniagaan korporat dan inovasi dalam e-dagang sejajar dengan fokus MDEC untuk pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pelantikan Aiza Azreen akan memantapkan lagi barisan sedia ada ketika MDEC memperluaskan kemampuan dan peluang perniagaannya sama ada di peringkat domestik atau global bagi meningkatkan jangkauan digital yang berpengaruh untuk negara.
“Langkah ini merupakan cerminan komitmen MDEC untuk mewujudkan teknokrat dan mengutamakan masyarakat pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang seterusnya akan membawa kepada kemakmuran bersama untuk semua rakyat,” ujarnya.
Aiza Azreen berpengalaman lebih 20 tahun dalam kariernya termasuk di Australia yang mana beliau terlibat dalam pengembangan strategi dan pelaksanaan transformasi berskala besar membabitkan pelbagai industri.
Beliau sebelum ini menerajui Pertama Digital Berhad di samping pernah berkhidmat dengan Axiata Digital Services dan Axiata eCode Sdn Bhd (sebahagian syarikat Axiata Group), Bank Rakyat, Kumpulan Sime Darby, Media Prima Berhad dan AmBank Berhad.
Menerusi pelbagai peranan terdahulu, beliau telah membantu dalam merintis ekosistem digital termasuk mempelopori ekosistem tanpa tunai di Malaysia dengan Boost eWallet, menyebarkan teknologi terbaharu, menginovasikan model operasi dan pengkomersialan perniagaan melalui penggabungan dan pengambilalihan dan kerjasama dengan rakan strategik.- MalaysiaGazette