Home Nasional Dasar Safe At Work untuk kurangkan kluster Covid-19 di tempat kerja –...

Dasar Safe At Work untuk kurangkan kluster Covid-19 di tempat kerja – Azmin

Azmin Ali

PUTRAJAYA – Bagi mengurangkan penularan Covid-19 di tempat kerja, kerajaan dalam perancangan untuk memperkenalkan dasar baharu kepada sektor industri.

Menurut Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dasar itu diperkenalkan bagi mengurangkan kluster tempat kerja yang semakin meningkat di negara ini.

“Kita telah menggubal satu pendekatan yang disebut Safe At Work yang diakan dibentangkan selepas majlis ini dan kita akan bentangkan tentang kertas (cadangan) kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) dalam beberapa hari yang akan datang.

“Sekiranya dipersetujui, kita akan laksanakan pendekatan ini disemua kilang-kilang dan tempat kerja supaya pula industri juga bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan dan perlindungan pekerja mereka kerana apabila dilindungi dan tidak dijangkiti sudah tentulah kita tidak ada tindakan untuk menutup operasi mereka,” katanya dalam sidang media selepas program Amanat Perasaan Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Hadir sama adalah tiga lagi Menteri Kanan iaitu Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Menurut Mohamed Azmin lagi, data-data yang diperoleh kerajaan menunjukkan kluster tempat kerja disebabkan oleh sebahagian besar pekerja didapati menginap di tempat kerja yang tidak kondusif, sesak dan sempit.

Justeru itu, beberapa prosedur operasi standard (SOP) akan dikaji bersama-sama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Teknikal selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir 4 Mac depan.

Ditanya sama ada PKP akan berakhir pada waktu itu, Mohamed Azmin berkata, ia bergantung kepada perbincangan dengan MKN kerana ia melibatkan penilaian risiko, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

“Kita belum lagi bincang tentang keputusan kerana KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan bentangkan risk assessment dalam masa untuk lihat apakah langkah-langkah boleh diambil setelah tamat PKP 2.0 pada 4 Mac akan datang.

“Namun apa pun keputusan yang akan diambil, seperti ditegaskan PM (Perdana Menteri) yang penting adalah pematuhan kepada SOP dan berdasarkan data dan sains.

“Kalau kita ada data spesiiifk yang boleh membuktikan sektor pelancongan boleh kita laksanakan dalam masa terdekat, saya percaya kerajaan akan mengambil langkah ke arah tersebut,” katanya lagi.

Kerajaan sebelum ini melanjutkan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang yang dijadualkan tamat pada 18 Feburari sehingga Khamis ini.- MalaysiaGazette