AMMAN – Jordan mengutuk tindakan berterusan perlanggaran di Masjid Al Aqsa, dengan kejadian terbaharu polis Israel membenarkan beratus-ratus pelampau memasuki masjid berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Jordan, Deifallah Fayez berkata, serangan berterusan itu merupakan pelanggaran yang jelas terhadap status quo undang-undang dan sejarah, undang-undang antarabangsa dan komitmen Israel, menurut satu kenyataan oleh kementerian itu.
Pegawai Jordan menekankan bahawa Masjid Al Aqsa adalah tempat ibadah “untuk orang Islam sahaja.”
Lantaran itu, Jordan meminta Israel menghentikan pelanggaran dan provokasi yang dilakukan.
Kejadian terbaharu itu berlaku selepas polis Israel menghalang penduduk Palestin di Tebing Barat daripada memasuki masjid berkenaan untuk solat Jumaat baru-baru ini.
Polis Israel telah menempatkan anggotanya di pintu masuk ke Old City di Jerusalem.
Malah, polis Israel bertindak memeriksa kad pengenalan jemaah sebelum memasuki pintu masuk masjid dan bertindak membawa mereka ke dalam bas untuk dihantar ke rumah.
Sejak bertahun-tahun jemaah masjid Al Aqsa dihadkan kepada penduduk di timur Jerusalem dan bandar-bandar Arab dan di bandar-bandar Israel. – MalaysiaGazette