Home Nasional Lebih 3,000 petani PPK Seberang Perak terima benih padi sah NAFAS

Lebih 3,000 petani PPK Seberang Perak terima benih padi sah NAFAS

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak, Mad Saad Harun bercakap mengenai Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

TELUK INTAN – Lebih 3,000 petani di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak yang menjalankan aktiviti menanam padi akan menerima benih padi sah yang diedarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Seberang Perak, Md. Saad Harun berkata, sebanyak 42,000 beg benih padi sah telahpun dimohon daripada NAFAS dan sebanyak 22,000 beg benih padi telahpun diterima setakat inni.

Katanya, benih padi itu adalah untuk kegunaan penanaman untuk musim ini yang dijadual bermula pada 8 Mac depan.

“Walaupun NAFAS jadikan PPK sebagai wakilnya (untuk edar kepada petani) tapi kita lantik ejen untuk membekalkan kepada petani. Ia bukan dilakukan (pengedaran) oleh PPK sahaja tetapi ia dipecah-pecahkan dan itu matlamat kita,” katanya.

Md. Saad berkata, pengedaran benih padi itu telah bermula sejak 8 Januari lalu dan dilakukan mengikut peringkat-peringkat fasa.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak, Mad Saad Harun menunjukkan sebahagian Benih Padi Sah (IBPS) yang tersedia untuk para petani di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

Ejen-ejen pembekal tidak boleh mengedarkannya sekaligus kerana ia benih padi sah yang hendak diedarkan itu perlu matang sebelum sampai kepada petani.

Tambahnya, jika dahulu pembekal memberi benih padi kepada pihak-pihak tertentu tetapi kini NAFAS menggunakan saluran terus kepada PPK untuk mengedarkannya dan PPK pula sudah ada wakil-wakil yang dipertanggungjawabkan untuk mengedar kepada petani.

Jelasnya, sistem yang digunakan kini lebih telus dan teratur serta dilihat lebih sempurna berbanding dahulu.

Ini kerana jika dahulu benih padi itu boleh dimanipulasi oleh pembekal dimana bekalan yang sah boleh jadi tidak sah disebabkan tiada langkah kawalan yang jitu.

“Sekarang ini sistem jadi lebih baik, semua bekalan akan dikawal oleh pihak NAFAS dan tiada lagi pihak yang boleh memanipulasikan benih padi yang akan digunakan untuk tanaman petani,” katanya. – MalaysiaGazette