KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan jumlah kutipan cukai tahun lalu pada angka RM123.092 bilion iaitu RM1.392 bilion atau 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak RM121.7 bilion.
Menteri Kewangan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, meskipun berdepan suasana ekonomi yang suram serta mencabar, LHDN sekali lagi telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma-norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.
Beliau melahirkan rasa bangga kerana agensi itu itu telah berjaya mengharungi segala rintangan dan cabaran semasa dengan cekal dan penuh dedikasi.
“Saya percaya pihak anggota Lembaga LHDNM dan Pengurusan Tertinggi LHDNM telah melakukan perancangan yang rapi dan berkesan dalam hal ini.
“Kejayaan memperolehi jumlah kutipan cukai disasarkan ini membuktikan bahawa walaupun dalam suasana pandemik masih terdapat industri-industri yang tidak terjejas malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik tersebut.
“Namun begitu, kita bersyukur mereka ini telah memainkan peranan dengan baik, menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan kembali ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Sambutan Hari Hasil Ke- 25 LHDNM 2021 yang disiarkan secara langsung secara maya di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.
Tengku Zafrul menambah, pihaknya yakin masih terdapat banyak ruang-ruang yang boleh diterokai oleh LHDNM bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi (potential taxpayer), mengenal pasti industri-industri dan sektor-sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar agensi itu.
Jelas beliau, dengan meneroka peluang-peluang baharu, sasaran kutipan yang disasarkan oleh pihak kerajaan kepada LHDNM pada tahun 2021 ini yang berjumlah RM 143.9 bilion dapat dicapai.
“Adalah penting di sini untuk LHDN meletakkan dirinya dalam kelompok essential services kepada negara dan saya menyokong sepenuhnya kedudukan LHD sebagai salah satu agensi yang disenaraikan sebagai essential services dalam menghadapi krisis kesihatan ini.
“Justeru, keputusan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dan barisan Pengurusan Tertinggi LHDN untuk beroperasi pada kapasiti 100 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerak aamatlah saya alu-alukan, lebih-lebih lagi dalam usaha memastikan operasi kutipan cukai dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya.
Tengku Zafrul turut berharap Hasilian akan terus fokus dan komited dalam menjalankan amanah yang telah diberikan kerana kelangsungan kewangan negara bergantung kepada kebolehan agensi itu melunaskan tugasan dan amanah yang diberikan.
Jelas beliau, kecekapan dan keberkesanan melaksanakan fungsi akan mengelakkan negara daripada terjerumus dalam langkah-langkah penjimatan kerajaan atau ‘austerity measures’ seperti yang pernah berlaku di negara lain akibat kegagalan sistem percukaian dalam menjamin kedudukan kewangan negara.
“Saya juga pasti LHDN telah pun menyusun, mengatur dan mengenal pasti strategi-strategi percukaian bagi mencapai sasaran tersebut atau memperolehi jumlah yang lebih dari itu, lebih-lebih lagi bulan pembayar cukai melaporkan cukai akan bermula tidak lama lagi.
“Harapan besar kerajaan juga diletakkan kepada LHDN dalam melancarkan pakej-pakej bantuan kepada golongan sasar
“LHDN telah membuktikan bahawa organisasi ini bukan hanya berkemampuan mengutip cukai kepada mereka yang layak dikenakan cukai, tetapi mereka sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan cekap dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette