KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan Pengecualian Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) dan pemberian diskaun terhadap kompaun kepada majikan yang lewat mendaftar dan mencarum dengan pertubuhan itu selama tiga bulan.
Ia bermula 1 Mac sehingga 30 Jun 2021, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Menurutnya, majikan yang berdaftar dalam tempoh itu juga berpeluang menerima diskaun kompaun yang jauh lebih baik daripada yang pernah dilaksanakan Perkeso sebelum ini.
Malah katanya, khabar gembira buat majikan yang tampil lebih awal kerana mereka mungkin diberikan diskaun kompaun sehingga 100 peratus.
“Biasanya bagi mereka yang mendaftar lewat, akan ada satu denda yang akan dikenakan. Denda ini akan dikecualikan 100 peratus. Tapi daripada segi kompaun akan ikut kategori dan tempoh berapa lama majikan tidak mendaftar.
“Tapi diskaun ini tidak seperti pendekatan Perkeso sebelum ini di mana bila kita mengadakan Ops Kesan, Ops Pemutihan kita telah tentukan diskaun. Jika mereka mendaftar untuk tempoh waktu pertama apa yang akan dikenakan adalah jauh lebih baik daripada aktiviti-aktiviti tahun-tahun sebelum ini.
“Kami juga mungkin tidak akan mengenakan kompaun sehingga 100 peratus jika mereka tampil dalam tempoh ini, lebih tampil awal,” katanya ketika sidang media selepas Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas Perkeso sempena ulang tahun ke-50 pertubuhan itu secara dalam talian hari ini.
Jelas Mohamed Azman, inisiatif yang sama dibuat oleh pihak pengurusan tertinggi demi menggalakkan lebih banyak majikan untuk berdaftar dengan Perkeso.
Berdasarkan data terdahulu menerusi Ops Kesan dan Ops Pemutihan yang dilaksanakan pertubuhan itu sebelum ini, beliau menganggarkan lebih kurang 30 peratus daripada majikan yang dikesan belum berdaftar dengan pihaknya.
“Kita kesan hampir 13 peratus majikan yang dilawati belum berdaftar dengan Perkeso ini melibatkan majikan kecil yang melibatkan pekerja tidak ramai, antara 1 hingga 10 orang,” katanya.
Perkeso ujarnya sentiasa bekerjasama dengan pihak yang mempunyai data majikan yang belum berdaftar dengan Perkeso untuk mengesan mereka.- MalaysiaGazette