Home Nasional PKPD di Felda Jengka, Ulu Jempol, PKP di Nabawan

PKPD di Felda Jengka, Ulu Jempol, PKP di Nabawan

Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dua kawasan di Pahang dan Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dua kawasan di Pahang dan Sabah.

PKPD diumumkan di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol di Maran, Pahang itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, PKPD di kawasan Felda berkenaan akan dilaksanakan bermula esok hingga 15 Mac ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang.

“Sehingga kini sebanyak 46 kes positif  telah direkodkan yang
melibatkan kluster ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD kesemua kawasan Felda berkenaan selama 13 hari mulai esok bagi memudahkan pengesanan awal kes-kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, kerajaan juga mengumumkan PKP di daerah Nabawan, Sabah bermula 3 Mac ini selama 14 hari, kata Ismail Sabri.

Menurutnya, selepas mengambil kira situasi semasa penularan di kawasan tersebut, setakat 28 Februari lalu, secara kumulatif sebanyak 177 kes positif telah dilaporkan yang melibatkan 15 buah kampung di daerah itu.

Malah katanya, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak yang melibatkan kluster di daerah ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Nabawan, Sabah bermula 3 Mac sehingga 16 Mac ini.

“Pelaksanaan PKP ini untuk mengawal pergerakan penduduk di daerah ini dan seterusnya untuk mengawal penularan jangkitan dalam komuniti,” tegas beliau.-MalaysiaGazette