BANGI – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dera hingga mati seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Hakim, Efandi Nazila Abdullah menetapkan tarikh itu ekoran Timbalan Pendakwa Raya, Md Fauzan Mohd Nor belum menerima laporan kimia DNA dan bedah siasat dari pihak hospital.
Tertuduh, N. Tanabalan, 27 dan K. Puvaneswary, 30, dituduh kerana menyebabkan kematian mangsa yang berpunca akibat didera.
Siasatan awal polis mendapati kejadian dera itu disyaki berlaku di sebuah pangsapuri di Semenyih di mana kanak-kanak itu dipercayai dipukul oleh teman lelaki ibu mangsa sehingga tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital.
Terdahulu, pertuduhan ke atas ibu mangsa dan teman lelakinya yang merupakan penarik kereta dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah selepas kedua-duanya menyatakan tidak berapa faham bahasa Melayu.
Tertuduh lelaki, yang memakai baju-T warna hitam serta teman wanitanya dalam keadaan kedua-dua belah tangan bergari mengangguk faham selepas mendengar pertuduhan yang dibacakan.
Pada 19 Februari lalu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan pihaknya menahan kedua-dua tertuduh selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada petugas Jabatan Kecemasan Hospital Kajang berhubung kematian mangsa.
Menurutnya, petugas terbabit memberitahu mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya.
Pemeriksaan lanjut doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.
Polis kemudiannya mendapatkan perintah reman terhadap kedua-dua daripada mahkamah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan tertuduh akan menerima hukuman gantung sampai mati. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: