KUALA LUMPUR – Smart Poultry Solution Program (SPSP) satu program baru yang akan dijalankan oleh Nexus Produktiviti Agro-Makanan (AFPN) dengan kerjasama Nexus Produktiviti Digital (DPN) membantu para pemain industri ternakan ayam bersaiz kecil untuk melaksanakan IoT (Internet Kebendaan) di ladang dengan kos mampu milik.
Kajian rintis akan dijalankan bersama ladang ternakan ayam yang terpillih dan kemudiannya akan diperluaskan kepada pemain dalam industri agro-makanan yang lain.
SPSP akan memberi peluang juga kepada pelajar universiti yang akan menjalankan latihan industri untuk membangunkan SPSP.
Para pelajar yang terlibat akan diambil daripada program yang dianjurkan oleh pihak DPN menerusi Program Internship Digital STARS.
Permohonan boleh dibuat melalui portal www.yourdigitalstars.com.
Professor Dr. Ahmad Zaki Abu Bakar, Presiden Gabungan Komputer Nasional Malaysia (MNCC) berkata, pelatih yang berjaya menamatkan latihan mereka menerusi program ini akan diiktiraf sebagai Digital STARS.
Untuk dua tahun ke hadapan, MNCC akan menyaksikan program Digital STARS berkembang dengan kurikulum yang lebih tersusun dan komprehensif untuk memenuhi keperluan terkini industri.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, IoT dapat membantu industri agro-makanan meningkatkan hasil dan juga produktiviti syarikat.
IoT digunakan secara meluas di negara-negara maju dalam meningkatkan pengeluaran serta penyediaan perkhidmatan yang lebih produktif dalam industri pertanian serta agro-makanan, yang mana kelebihan teknologi ini akan dapat membantu petani dan penternak untuk menggandakan pengeluaran hasil. – MalaysiaGazette