Home Utama Tan Sri, Datuk dalang sindiket dadah bukan ahli politik – Bukit Aman

Tan Sri, Datuk dalang sindiket dadah bukan ahli politik – Bukit Aman

Datuk Razarudin Husain. PIX: MalaysiaGazette Tan Sri Datuk Seri drug lords businessmen
Datuk Razarudin Husain. PIX: MalaysiaGazette

GEORGE TOWN – Tiga individu bergelar Tan Sri dan Datuk yang dipercayai dalang utama sindiket dadah antarabangsa berpangkalan di negara ini tidak terlibat dalam arena politik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain menjelaskan, ketiga-tiga individu yang berada dalam radar polis itu merupakan ahli korporat yang berselindung di sebalik perniagaan yang sah.

“Mereka (Tan Sri dan Datuk) itu menjalankan perniagaan yang sah tetapi ada kaitan dengan dadah. Buat masa ini kita masih kumpulkan keterangan.

“Bila bukti sudah mencukupi baru kita akan melakukan tangkapan seperti kes-kes orang kenamaan sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Menurut Razarudin, tangkapan itu membabitkan orang kenamaan yang terlibat dalam kegiatan sindiket dadah bukan sesuatu yang baru cuma tidak didedahkan kepada pihak media.

“Tahun lepas kita tahan orang kenamaan yang dipercayai terlibat dalam sindiket jenayah dan kini dia masih dalam tahanan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 di Batu Gajah, Melaka.

“Selain itu, pada tahun 2017 kita menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri atas kesalahan yang sama,” ujarnya lagi.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan pihaknya sudah mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik gelaran Tan Sri dan Datuk Seri.

Sindiket berkenaan yang dikesan mempunyai rangkaian yang hebat, berselindung di sebalik perniagaan yang sah serta hidup mewah bagaimanapun sukar untuk mengaitkan mereka dengan kegiatan dadah.

Katanya, jika selama ini, setiap kali rampasan besar mencecah jutaan ringgit, hanya individu bawahan sahaja diusik sedangkan rangkaian utama yang berada di atas tidak terjejas.

“Walaupun status mereka bergelar Tan Sri dan Datuk Seri, sudah tiba masanya mereka dibawa ke muka pengadilan kerana sudah merosakkan ribuan rakyat Malaysia dengan kemasukan dadah,” kata Abdul Hamid. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tan Sri, Datuk Seri terlibat sindiket dadah akan dibawa ke muka pengadilan – KPN