Home Sukan UiTM yakin jadi pencabar sengit

UiTM yakin jadi pencabar sengit

Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Selepas menamatkan kedudukan di tangga keenam dalam saingan Liga Super musim lalu, UiTM FC kini dilihat lebih serius untuk memburu kedudukan lebih cemerlang dengan membariskan pemain-pemain lebih mantap bagi memperkuatkan pasukan musim ini.

Nyata, musim lalu boleh dianggap permulaan yang cukup baik untuk UiTM menerusi penampilan kali pertama di pentas Liga Super dan musim ini pasukan itu pasti menjadi perhatian pihak lawan.

Selepas mengekalkan Frank Bernhardt untuk terus membimbing skuad ini, tonggak utama import dari Perancis yang turut menjadi kapten pasukan musim lalu, Victor Nirennold juga kekal bersama UiTM FC untuk mengemudi bahagian pertahanan.

Nirennold mempamerkan prestasi memuaskan untuk memastikan benteng pertahanan kekal ampuh apabila hanya dibolosi 15 gol secara keseluruhan pada musim lalu dalam saingan Liga Super.

Menurut Bernhardt, pemain berusia 30 tahun itu merupakan pemain berpengalaman dan keputusannya untuk terus kekal berbakti bersama pasukan ini sememangnya memberi bonus kepada UiTM FC untuk terus memperkuatkan benteng mereka sekali gus ingin menjadi pencabar sengit kepada lawan.

“Saya mempunyai empat pemain utama seperti Faizal Mohd Arif, Ahmad Khuzaimi Piee, Afif Asyraf dan Nirennold di mana mereka semua ini mempunyai pengalaman besar dan telah membantu pasukan dengan baik musim lalu.

“Jadi, dengan apa yang ada pada pemain ini boleh membantu pemain baharu lain yang hadir dalam skuad ini untuk ambil tanggungjawab masing-masing bagi sama-sama memperkuatkan pasukan.

“Saya yakin, kami semua baik pemain baharu dan pemain lain yang dikekalkan akan terus mampu mendominasi setiap perlawanan selepas ini dan mereka akan tempuhinya dengan lebih baik.

“Ini selepas saya menilai prestasi mereka dalam beberapa aksi perlawanan persahabatan dan kami akan bersedia untuk harungi sepak mula nanti,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Selain Nirennold, UiTM FC turut mengumumkan empat pemain import baharu termasuklah penjaga gol import dari Croatia, Dominik Picak, penyerang baharu dari Ghana, Nana Poku, bekas pemain Kelantan dari Lubnan, Abou Bakr Al-Mel dan juga bekas pemain import Pahang, Adam Reed.

Skuad ini juga diperkuatkan oleh lapan pemain tempatan baharu iaitu Khairul Asyraf Sahizah (Perak II), Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan), Dirga Surdi (PDRM), Muhammad Farid Nezal (PDRM), Muhd Hardee Shamsuri (Pahang), Mohd Alif Najmi (Perak II), Mohd Fauzi Abdul Latif (Negeri Sembilan) dan Mohd Khairul Izuan (Kelantan United FC).

UiTM FC akan menerima kunjungan skuad kendalian Nafuzi Zain, Terengganu FC untuk aksi Liga Super yang akan berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam pada 6 Mac depan. – MalaysiaGazette