Home Nasional Vaksin: Potong giliran boleh didakwa – Adham

Vaksin: Potong giliran boleh didakwa – Adham

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Penubuhan Rumah Ronald McDonald di Hospital Tunku Azizah di McDonald's Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran tegas bahawa individu yang memotong giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 akan berdepan dikenakan kompaun dan tindakan undang-undang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka yang didapati melakukannya boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Jelas beliau, seksyen tertentu dalam akta berkenaan boleh digunakan terhadap individu terbabit kerana menghalang atau merencatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Dalam akta itu, ada beberapa seksyen yang boleh digunakan untuk mengheret orang (potong barisan bagi mendapatkan vaksin) sebegini ke muka pengadilan.

“Mereka cuba halang atau bantutkan usaha imunisasi,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), di sini, hari ini.

Turut hadir,  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Semalam Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan memandang serius isu perlanggaran giliran dalam program vaksinasi yang dijalankan di seluruh negara.

Kenyataan itu dibuat Khairy bagi menjawab kebimbangan yang disuarakan oleh pakar nefrologi, Dr Rafidah Abdullah yang mendakwa menerima banyak mesej berhubung pelanggaran protokol giliran vaksinasi.

Dalam ciapannya, Dr Rafidah berkata, kerajaan perlu memastikan keadilan dalam agihan dan memupuk kepercayaan terhadap program imunisasi nasional.

Wanita yang dalam proses mengandung boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, namun perlu mendapatkan nasihat pakar atau doktor masing-masing.

Sementara itu, Dr Adham menambah, wanita hamil atau cuba mengandung perlu mendapatkan nasihat lanjut daripada pakar bagi menentukan keperluan mengambil vaksin Covid-19 berdasarkan tahap kesihatan masing-masing.

“Dalam ujian yang dilaksanakan, antara vaksin dan placebo, ada segelintir individu yang menyertai ujian klinikal Pfizer sebelum ini tidak mengetahui mereka sebenarnya mengandung.

“Apa yang berlaku ialah, dua daripada 23 sukarelawan mengalami keguguran secara spontan, justeru data klinikal mengenai kontraindikasi (sebarang keadaan yang menandakan ketidaksesuaian suatu bentuk rawatan) ada disertakan.

“Oleh itu, yang nak dapatkan suntikan imunisasi Covid-19 tetapi mengandung, mereka sebenarnya layak dapat vaksin tetapi perlu hubungi pakar dan doktor masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette