TANAH MERAH – Polis menahan 11 remaja dalam Ops Khas Kesalahan (Bunyi Bising) di Jalan Kampung Liku di sini dari pukul 5.30 petang hingga 8.00 malam semalam, antaranya bagi kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak memakai topi keledar.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Zainuddin Md Yusuf berkata, kesemua mereka yang berumur antara 14 dan 20 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, dan mereka turut diberikan tazkirah.
“Kebetulan ketika itu telah masuk waktu Maghrib, jadi saya mengarahkan mereka solat berjemaah terlebih dahulu di surau IPD sebelum proses selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada remaja itu turut mengimamkan solat, manakala tazkirah Maghrib disampaikan oleh anggota IPD berkenaan selepas solat.
Mengulas lanjut berhubung operasi itu, Zainuddin berkata 30 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan dengan paling tinggi adalah kesalahan tidak memakai topi keledar, dan operasi turut menyaksikan sembilan motosikal disita.
“Sitaan motosikal dibuat di bawah Seksyen 64 Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987,” katanya sambil memaklumkan penugasan operasi berkenaan membabitkan dua pegawai serta enam anggota. – Bernama